Ahad, 25 Disember 2016 | 12:16am

Penjualan hidupan liar terlindung dalam talian makin licik

PETALING JAYA: Jaringan Pemantau Perdagangan Hidupan Liar (TRAFFIC) Asia Tenggara mengesan sekurang-kurangnya 14 akuan sesawang sosial khususnya Facebook, mendalangi penjualan hidupan liar secara haram di negara ini.

Kegiatan itu dikesan membabitkan hampir 70,000 ahli aktif, yang secara konsisten memberi maklum balas menyokong kegiatan itu, sama ada mendapatkan keterangan lanjut berhubung haiwan yang dijual atau memulakan urus niaga.

Siasatan BH mendapati, pengendali sesawang sosial yang terbabit dengan kegiatan haram itu, mengelak daripada bertemu dengan mana-mana pembeli mereka, dipercayai mahu melindungi identiti mereka daripada pihak berkuasa.


KUCING Batu yang dirampas dalam OPS Taring oleh PERHILITAN. NSTP/ABDULLAH YUSOF

Seorang pengendali sesawang dipercayai berpusat di Sungai Buloh, misalnya hanya menyerahkan nombor akaun bank untuk pembayaran, sebelum menguruskan penghantaran hidupan liar yang dijual menggunakan bas ekspres.

Hidupan liar seperti burung kakak tua, kucing hutan, musang pandan, burung helang, burung pungguk dan monyet, dijual pada harga antara RM150 hingga RM1,500 bergantung kepada status jinak atau liar serta usia haiwan itu.

Seekor anak harimau belang juga pernah ditawarkan pengendali akuan sama baru-baru ini pada harga RM50,000 tetapi kemudian memadam tawaran itu.

Haiwan yang ditempah pelanggan akan dimasukkan ke dalam kotak yang ditebuk lubang untuk pengudaraan sebelum penghantaran dibuat menggunakan bas ekspres ke lokasi pembeli.

Maklumat khususnya nombor telefon mengenai bas yang digunakan bagi membawa haiwan terbabit serta pemandunya diserahkan kepada pembeli untuk proses penyerahan di stesen ditetapkan.


PEGAWAI Program TRAFFIC, Or Oi Ching. - Foto Surianie Mohd Hanif

Berdasarkan modus operandi yang digunakan itu juga, pengendali sesawang terbabit dipercayai tidak menyimpan kebanyakan hidupan liar yang dijual di premis mereka, sebaliknya penghantaran dikendalikan pembekal dari tempat lain kepada mana-mana lokasi di seluruh negara.

Pegawai Program TRAFFIC, Or Oi Ching, berkata pemantauan pihaknya mendapati semua sesawang sosial adalah antara yang paling aktif memuat naik aktiviti perniagaan mereka di negara ini.

Katanya, selain memaparkan pelbagai jenis hidupan liar untuk dijual, pengendali akaun terbabit juga memaparkan testimoni pelanggan masing-masing dipercayai bagi mengukuhkan keyakinan pembeli untuk berurusan.

"Pemantauan kami selama lima bulan mendapati mendapati sesawang sosial terbabit, menjual lebih daripada 300 haiwan merangkumi 80 spesis, termasuk 39 spesis haiwan yang dilindungi sepenuhnya.

"Kami percaya mereka sudah menjual lebih banyak daripada jumlah yang dikesan yang sebahagian besarnya semuanya tergolong dalam haiwan terancam di Malaysia.


KETUA Pengarah PERHILITAN, Abdul Kadir Abu Hashim (kiri) menunjukkan kucing batu yang dirampas dalam OPS Taring. NSTP/ABDULLAH YUSOF

"Kira-kira 60 peratus daripada haiwan dijual itu dipercayai berasal daripada hutan di Malaysia, sekali gus memberi petunjuk bahawa pemburuan haram semakin menjadi-jadi di negara ini," katanya.

Oi Ching berkata, perdagangan haram hidupan liar bermaksud urusan perniagaan membabitkan haiwan yang dilindungi tanpa sebarang dokumen sah di sisi undang-undang.

"Ini termasuk haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Ramai yang tidak tahu bahawa tumbuh-tumbuhan juga adalah hidupan liar dan ada yang tergolong dalam kategori dilindungi sepenuhnya seperti beberapa spesies orkid hutan dan gaharu," katanya.

Oi Ching berkata, sebarang tindakan menjurus kepada pemindahan atau pengeluaran hidupan liar tanpa kebenaran sah daripada habitat asal mereka adalah perbuatan jenayah yang boleh dihukum mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

"Sesiapa yang didapati memburu haiwan itu secara haram boleh didakwa mengikut Seksyen 60 (1) dan 62 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716) dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

gn4id:18077110

Tindakan undang-undang juga, jelas Oi Ching, boleh dikenakan terhadap pemilik kedai atau restoran yang terbabit menjual hidupan liar berkenaan, termasuk organ yang sudah diproses, daging atau menjual haiwan liar untuk dipelihara.

"Tinjauan TRAFFIC juga mendapati, ada segelintir kedai peliharaan memperoleh bekalan haiwan liar dari pemburu haram sebelum menjualnya pada harga tinggi," katanya.

Dalam kes ini jelas beliau, penjual dan pembeli masing-masing boleh dikenakan hukuman sekiranya sabit kesalahan.

Oi Ching menarik perhatian, orang ramai yang memperoleh sebarang maklumat berhubung sebarang aktiviti pemburuan atau perdagangan haram hidupan liar diminta menghubungi talian hotline 019-356 4194 untuk tindakan lanjut.

"Talian ini beroperasi 24 jam dan akan berhubung terus dengan pihak berkuasa untuk tindakan lanjut pada kadar segera. Pengadu tidak perlu bimbang kerana identiti mereka akan dirahsiakan," katanya.

Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mendedahkan yang taktik bunuh, ancam, cedera dan tangkap, menjadi modus operandi pemburu haram mendapatkan haiwan liar di negara ini.

Hidupan liar itu lazimnya masih bayi dan menyusu, tetapi terpaksa berpisah daripada induknya, angkara kekejaman segelintir manusia.

Haiwan yang sepatutnya membesar, selamat dan bebas di habitat asal itu bukan sahaja dikurung malah turut dinafikan dari fitrah sebenar kehidupannya.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan PERHILITAN, Hasnan Yusop, berkata adalah menjadi fitrah haiwan terbabit melindungi anaknya dari ancaman pemburu atau penyerang.

"Sama dengan hidupan lain, induk amat menyayangi dan melindungi anaknya. Ia akan menyerang, kalau ada gangguan atau ancaman yang dirasakan menggugat keselamatan.

"Dalam sesetengah kes, tak semestinya induk itu dibunuh, ada juga yang diancam dan ditakut-takutkan, bertujuan memisahkan induk dan anak itu," katanya.

Beliau mengakui wujud kecenderungan dalam kalangan peminat haiwan negara ini untuk menjadikan hidupan liar sebagai binatang peliharaan.

Golongan ini katanya, menggelarkan diri sebagai peminat haiwan eksotik dan sanggup membelanjakan ribuan ringgit semata-mata untuk mendapatkan jenis haiwan diingini.

"Siasatan kita mendapati kecenderungan ini mula wujud sekitar tahun 2013, serentak dengan penggunaan media sosial yang semakin meluas di Malaysia.

"Mereka memanfaatkan sepenuhnya aplikasi media sosial seperti Facebook, Whatsapp dan Instagram untuk urusan jual beli semua haiwan berkenaan," katanya.

Hasnan berkata, PERHILITAN menerusi Unit Jenayah Siber memantau dengan teliti perkembangan perkara itu yang turut dikategorikan sebagai satu jenayah kerana dilakukan secara haram.

"Kami mahu masyarakat tahu bahawa PERHILITAN tidak pernah berdiam diri dalam menangani kes seumpama ini.

"Pasukan perisik dan Unit Jenayah Siber kami sentiasa memantau pergerakan individu terbabit jenayah hidupan liar. Ada pelbagai strategi rahsia yang kami lakukan untuk memastikan mereka tidak terlepas," katanya.

Hasnan memberitahu, PERHILITAN tidak ketinggalan menjalin kerjasama erat di peringkat antarabangsa berikutan jenayah hidupan liar adalah isu merentas sempadan.

"Kami ada kerjasama dengan ASEAN-Jaringan Penguatkuasaan Hidupan Liar (WEN), Polis Antarabangsa (INTERPOL) dan beberapa agensi berkaitan.

"Malaysia juga adalah ahli Konvensyen Antarabangsa Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam (CITES) yang bersama-sama secara global mengawal selia perdagangan hidupan liar antarabangsa," katanya.

Kerjasama domestik pula jelas beliau, mencakupi program khas bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikenali sebagai Jaringan Operasi Penguatkuasaan Biodiversiti 1Malaysia (1MBEON).

"Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula, kita ada operasi khas bernama Ops Khazanah.

"PERHILITAN juga ada melaksanakan operasi sendiri dikenali sebagai Ops Taring 1, Ops Taring 2 dan Ops Taring 3," katanya.

FAKTA:

- 43 kes jenayah hidupan liar dalam talian dikesan sejak 2013

- 67 spesies haiwan diselamatkan

- 43 tangkapan - 14 sudah didakwa dan dihukum mahkamah

18 bulan penjara & RM60,000 denda - warga asing seludup orang utan.

KETUA Pengarah PERHILITAN, Abdul Kadir Abu Hashim.
KETUA Pengarah PERHILITAN, Abdul Kadir Abu Hashim (kiri) menunjukkan anak beruang matahari yang berjaya dirampas dalam OPS Taring. NSTP/ABDULLAH YUSOF
ANAK harimau dan burung hantu antara hidupan liar yang ditawarkan untuk jualan menerusi sesawang sosial, facebook.
SEBAHAGIAN daripada hidupan liar yang dijual dalam talian dan dihantar kepada pembeli menggunakan kotak yang dibawa dengan bas ekspres.
PENGARAH Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perhilitan, Hasnan Yusop. - Foto Yazit Razali
Berita Harian X