Sabtu, 24 Disember 2016 | 11:07am

Aksi sulung Amri bersama MU

PENYERANG sensasi Melaka United (MU) Amri Yahyah. - Foto Osman Adnan

MELAKA: Penyerang sensasi Melaka United (MU) Amri Yahyah bakal beraksi buat pertama kali untuk skuad terbabit berdepan PKNP FC pada aksi persahabatan pra musim di Stadium Hang Tuah petang ini.

Jurulatih MU, Eric Willams berkata, pemain itu akan diberi peluang untuk penampilan pertamanya bersama pasukan berkenaan selepas menyertai skuad Hijau Putih Selasa lalu.

Menurut Williams, dia mungkin menurunkan Amri pada babak untuk bergandingan dengan Sergio Aguero dan Ilja Spasojevic bagi memantapkan persembahan pasukan, namun kesemuanya terletak kepada situasi terakhir menjelang perlawanan.

Kehadiran Amri dengan aksi terbaiknya amat penting dalam menyemarakkan sokongan peminat kepada pasukan berkenaan selain pastinya penyokong amat teruja untuk melihat dia beraksi.

Williams juga bercadang menguji semua pemainnya bagi menilai prestasi dan kemampuan masing-masing berikutan terdapat pemain tidak diturunkan ketika aksi persahabatan pertama bertemu FELCRA FC di gelanggang sama sebelum ini.

"Saya juga akan menggabungkan pemain dari kedua-dua babak perlawanan ketika berdepan FELCRA FC pada aksi persahabatan sebelum ini, di mana pada aksi terbabit saya menurunkan kesebelasan berbeza pada setiap 45 minit," kata Williams.

"Apa yang saya harapkan adalah pemain-pemain mampu menterjemahkan apa yang sudah direncana pada setiap sesi latihan. Malah saya berkeyakinan mereka mampu melakukan yang terbaik."

Perlawanan berkenaan dilihat sebagai kesempatan terbaik buat Williams mengenalpasti kesebelasan utama menjelang saingan Liga Malaysia 2017.

Berita Harian X