Jumaat, 23 Disember 2016 | 10:27pm

Lori terbabas, elak 'lembaga' di LPT2

DUNGUN: Seorang pemandu lori dan kelindannya terselamat selepas treler yang mereka naiki terbalik ketika mengelak 'lembaga' di Kilometer 342.7 Lebuh Raya Pantai Timur2 (LPT2) selepas susur keluar Kuala Dungun, awal pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 3 pagi itu, pemandu treler, Saiful Fakri M Sidi, 25 dan adiknya, Saiful Hairi, 18, hanya mengalami cedera ringan.

Ketika kejadian, treler terbabit yang membawa bijih besi dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan, untuk menghantar bekalan terbabit di Kawasan Industri Gebeng, Kuantan, Pahang.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, treler yang dipandu Saiful dikatakan cuba mengelak 'lembaga' yang melintas menyebabkan treler itu terbabas dan terbalik ke kiri jalan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, sehingga jam 9 malam ini treler terbabit masih belum dialihkan, namun ia tidak mendatangkan kesesakan di lebuh raya.

Sementara itu di lokasi sama, seorang lelaki cedera di kaki kanan selepas kereta FORD Fiesta dipandunya remuk teruk akibat merempuh besi penghadang jalan.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Hasmadi Mohd Nor, 30, dari Kampung Kerandang, Besut, cedera di kaki akibat tersepit di tempat duduk pemandu selepas keretanya terbabas dalam hujan lebat dan merempuh besi penghadang jalan.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan.

Berita Harian X