Jumaat, 23 Disember 2016 | 9:19pm

Getah terajui harga komoditi global

KUALA LUMPUR: Getah mendahului komoditi utama lain dengan merekodkan prestasi terbaik dari segi peningkatan harga pada tahun ini.

Harga getah di Bursa Hadapan Shanghai melonjak 76.57 peratus sepanjang didagangkan tahun ini, demikian mengikut pangkalan data yang dikumpulkan Bloomberg setakat semalam.

Komoditi kedua yang mencatatkan prestasi terbaik ialah susu, yang melonjak 50 peratus pada tahun ini, diikuti keluli (+67.69 peratus), kapas (+34.12 peratus), kopi (+34.90 peratus) dan minyak sawit mentah (+25.20 peratus).

Harga getah asli mula mencatatkan peningkatan secara beransur-ansur sejak akhir September lalu, susulan peningkatan permintaan kenderaan bermotor di China, yang mana melonjakkan permintaan untuk tayar kereta.

Permintaan kukuh itu menjadi pemangkin untuk harga getah di pasaran tempatan meningkat dengan gred getah Standard Malaysia Rubber (SMR) 20 mencecah paras tertinggi baharunya dalam tempoh tiga tahun.

Harga gred getah yang digunakan dalam pelbagai industri berasaskan getah, terutama pembuatan tayar itu telah meningkat lebih 100 peratus daripada paras rendah yang dicatatkannya sejak Februari lalu pada paras RM4.25 sekilogram.

Kali terakhir harga SMR 20 pada paras antara RM8.80 hingga RM9 sekilogram adalah pada Februari 2013.

MIDF Research berkata, peningkatan permintaan kenderaan bermotor di ekonomi kedua terbesar dunia itu adalah berikutan langkah kerajaan China mengurangkan cukai pembelian kenderaan bermotor dengan kapasiti enjin 1.6 liter dan ke bawah kepada lima peratus berbanding 10 peratus sebelum ini.

"Permintaan kukuh untuk kenderaan bermotor di China itu memacu permintaan bagi getah asli untuk pengeluaran tayar," katanya dalam nota penyelidikannya.

Berdasarkan perangkaan Persatuan Kereta Penumpang China (PCA), jualan kenderaan bermotor dengan kapasiti enjin 1.6 liter dan ke bawah meningkat lebih 20 peratus dari bulan ke bulan sejak pengurangan cukai diperkenalkan.

Insentif cukai itu dijangka tamat menjelang akhir tahun dan pengeluar kereta China menjangkakan peningkatan mendadak dalam jualan berikutan pelanggan berlumba-lumba membeli kereta sebelum tarikh akhir tempoh pengurangan cukai itu.

Penganalisis pasaran mengunjurkan corak aliran meningkat harga getah asli akan berterusan sehingga separuh pertama tahun depan, susulan pengurangan bekalan bermusim khususnya Mac hingga Mei.

Lazimnya, dalam tempoh Mac hingga Mei, pokok getah akan mengalami pengurangan pengeluaran susu getah berikutan cuaca panas.

INFO

* Malaysia adalah pengeluar getah asli kelima terbesar dunia

* Sebanyak 95 peratus daripada 720,000 tan getah asli yang dihasilkan di Malaysia dibekalkan pekebun kecil pada tahun lalu

* Malaysia mengeksport kira-kira RM18 bilion nilai produk getah tahun lalu

23 dibaca
Berita Harian X