Jumaat, 23 Disember 2016 | 6:46pm

FELDA beli saham Eagle High RM2.26b

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menerusi anak syarikatnya, FIC Properties Sdn Bhd (FICP), menandatangani Perjanjian Jual dan Beli (SPA) dengan Rajawali Group untuk membeli sebahagian ekuiti dalam PT Eagle High Plantations Tbk (EHP).

Menerusi SPA berkenaan, FICP akan membeli ekuiti sebanyak 37 peratus dalam EHP, iaitu antara syarikat perladangan terbesar di Indonesia, yang disenaraikan di bursa saham Jakarta.

Pembelian bernilai AS$505.4 juta (RM2.26 bilion) itu antara lain membolehkan FELDA memperoleh akses pada tanah perladangan seluas lebih 320,000 hektar di Indonesia (kira-kira 4.4 kali keluasan Singapura), termasuk lebih 125,000 hektar yang sudah ditanam dengan pokok sawit.

Butir lanjut mengenai pembelian itu belum dapat diumumkan buat masa ini berikutan SPA terbabit masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan di kedua-dua Malaysia dan Indonesia.

FELDA dalam satu kenyataan berkata, keputusan untuk membeli ekuiti itu selari dengan matlamat jangka panjangnya untuk menjadi antara kumpulan minyak sawit terbesar dunia.

16 dibaca
Berita Harian X