Jumaat, 23 Disember 2016 | 4:04pm

Bayi perlu bantuan tampung kos pembedahan


FAM Choong Hiow (kiri) melihat anaknya, Fam Yu En yang disahkan mengalami masalah saluran tersumbat di jantung. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Belum sempat seorang suri rumah, Tew Sieow Charng, 34, mendukung bayinya, Fam Yu En, 25 hari, bayi berkenaan disahkan mengalami masalah saluran tersumbat di jantung.

Bayi berkenaan memerlukan sumbangan orang ramai berjumlah RM70,000 bagi menjalani pembedahan membetulkan saluran itu di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur.

Bapanya, Fam Choong Hiow, 37, berkata selepas anak perempuannya itu dilahirkan di Hospital Pantai Cheras, doktor di sana memberitahu Yu En mempunyai masalah paru-paru berair.

"Pihak hospital memindahkan Yu En ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan doktor di sana mengesahkan saluran di jantung anak saya tersumbat.

"Doktor di PPUM pula memindahkan anak saya di sini (Hospital Gleneagles) bagi menjalani pembedahan dalam tempoh terdekat," katanya ketika ditemui di hospital berkenaan, di sini, hari ini.

Choong Hiow yang juga peniaga di pasar malam berkata, anaknya itu juga mempunyai masalah pernafasan dan perlu minum susu menggunakan tiub.

Sementara itu, anak lelaki pasangan Tan Seong Hwa dan Yeoh Teow Mooi, Tan Ze Yu yang berusia empat bulan, disahkan menghidapi masalah jantung tersumbat dan memerlukan bantuan bagi menampung kos pembedahan di hospital sama.

Seong Hwa yang juga seorang mekanik di Banting, berkata anak lelakinya itu memerlukan sumbangan sebanyak RM50,000 bagi menjalani pembedahan kali kedua.

"Ze Yu disah menghidapi masalah jantung tersumbat sejak lahir dan ini adalah kali kedua dia akan menjalani pembedahan.

"Saluran darahnya pula semakin mengecil dan ia menyebabkan badannya tidak mendapat oksigen dan zat mencukupi di mana adakala mulutnya berubah menjadi hitam," katanya.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Media Prima NSTP Humanitarian Fund (Maybank 514105323170) atau melalui cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek.

Cek boleh dihantar ke Jabatan Kumpulan Komunikasi Korporat Media Prima, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau hubungi talian 03-27148977.

17 dibaca
Berita Harian X