Khamis, 22 Disember 2016 | 11:15pm

Rangka manusia ditemui dalam semak

KOTA BHARU: Satu rangka manusia ditemui dalam semak di Kampung Semut Api Jalan Pantai Cahaya Bulan, dekat sini, petang tadi.

Mayat mangsa, yang dikenal pasti sebagai Nik Soh Nik Umar, 53, dijumpai kira-kira 15 meter dari basikalnya dan dipercayai meninggal dunia lebih tiga bulan lalu apabila menghilangkan diri daripada keluarganya.

Saksi, Che Fakri Alias, 43, berkata beliau menjumpai rangka manusia itu ketika mahu mengambil lembunya yang ditambat berhampiran kawasan berkenaan.

"Lebih kurang jam 4 petang tadi ketika mahu mengambil lembu, saya menjumpai tulang menyerupai manusia. Berdasarkan maklumat kad pengenalan pada mangsa, saya membuat laporan polis dan memaklumkan penemuan itu kepada keluarga mangsa," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, adik mangsa, Nik Nor Mazura Nik Umar, 31, berkata beliau membuat laporan polis mengenai kehilangan mangsa, namun gagal menemui abangnya itu berikutan kekurangan maklumat dan gambar mangsa.

"Arwah sering berada di Masjid Muhammadi untuk menyapu sampah serta mengambil upah mengurut di kampung ini.

"Arwah menghidapi penyakit angin dan hanya pulang ke rumah lebih kurang dua hari saja dalam seminggu.

"Namun, kami tidak menyangka arwah menemui ajal dalam keadaan demikian," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Polis Baharom Abu, mengesahkan penemuan rangka manusia itu.

"Rangka berkenaan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk bedah siasat," katanya.

Berita Harian X