Khamis, 22 Disember 2016 | 10:13pm
PEMAIN termahal Melaka United (MU), Amri Yahyah. - Foto Osman Adnan

Wak Am sedia curah ilmu kepada MU

MELAKA: Pemain termahal Melaka United (MU), Amri Yahyah, akan menggunakan segala pengalamannya bersama skuad Johor Darul Ta'azim (JDT), Selangor dan skuad kebangsaan untuk menjulang skuad Hang Tuah ke kedudukan terbaik di carta liga dan Liga Malaysia musim depan.

Beliau yang juga dikenali sebagai Wak Am, berazam mencipta kejayaan manis bersama skuad baharunya, yang kini dibimbing jurulatih Eric Williams.

"Apa yang pasti, saya mahu membantu pasukan ini memenangi setiap perlawanan dengan fokus kepada satu pertemuan ke satu pertemuan berikutnya. Tumpuan kepada setiap perlawanan amat penting untuk meraih mata berharga.

"Jika semuanya itu mampu diraih, tidak mustahil pasukan ini akan berada pada kedudukan terbaik di Liga Malaysia, malah sasaran pasukan juga mampu menjadi kenyataan," katanya.

Selain itu, beliau juga bersedia menerima sebarang peranan bersama skuad berkenaan, termasuk digandingkan bersama penjaring terbanyak Liga Perdana 2016, Ilja Spasojevic.

Baginya, tugas utama beliau adalah beraksi pada tahap terbaik dan menterjemahkan segala perancangan jurulatih.

Berita Harian X