Khamis, 22 Disember 2016 | 3:41pm

Zain lancar kempen bantu kanak-kanak ke sekolah


PEMILIK Zapatos Sdn Bhd, Zain Saidin.

KUALA LUMPUR: Terpanggil untuk membantu mereka yang berdepan kepayahan hidup, pelakon Zain Saidin, menggerakkan kempen diberi nama #Solesearching menerusi syarikat miliknya, Zapatos Sdn Bhd.

Kempen terbabit diadakan dengan tujuan mengumpul sumbangan daripada masyarakat menerusi platform media sosial, termasuk Instagram dan Facebook, bagi membantu kanak-kanak yang tidak mampu memiliki kelengkapan sekolah baharu seperti kasut, beg, selain tidak berupaya melunaskan yuran persekolahan dan sebagainya.

"Kita sedar, situasi ini sememangnya berlaku di depan mata kita. Ramai yang berdepan kesulitan hidup sehingga ibu bapa masing-masing tidak mampu memberikan kesenangan kepada anak-anak mereka.

"Malah, ada yang tidak dapat ke sekolah kerana kepayahan dihadapi. Kita yang mempunyai kemampuan dan kelebihan tertentu boleh membantu kanak-kanak terbabit meneruskan kehidupan selain mendapat pendidikan sempurna seperti rakan mereka yang lain," kata suami pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan, yang terkenal menerusi drama Oh My English ini.

Kempen berkenaan turut mendapat sokongan beberapa rakan artis termasuk Datuk Aznil Nawawi dan isterinya sendiri.

"Dengan derma yang dihulurkan, Insya-Allah sedikit-sebanyak masalah yang dihadapi golongan terbabit dapat dikurangkan. Tidak kiralah berapa jumlah mampu kita berikan, walaupun RM1, ia tetap bermakna bagi mereka yang memerlukan," katanya.

Menurut Zain, bagi menjayakan lagi kempennya itu, beliau turut bekerjasama dengan beberapa yayasan selain syarikat ternama seperti BATA.

Zain juga menyebarkan rakaman video sebagai pengenalan kepada kempen terbabit bermula 15 Disember lalu hingga 15 Januari depan.

"Saya sendiri akan turun padang ke setiap negeri bagi mengedarkan kasut, baju sekolah, peralatan dan bayaran yuran mereka yang betul-betul memerlukan. Sasaran saya adalah untuk membantu seramai mungkin insan dalam kepayahan. Insya-Allah," katanya.

Berita Harian X