Khamis, 22 Disember 2016 | 12:31pm

Bekalan air hampir pulih sepenuhnya

KUALA LUMPUR: Bekalan air hampir pulih sepenuhnya di semua kawasan yang mengalami gangguan bekalan akibat henti tugas separa Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 selepas kerja penyelenggaraan sistem bekalan elektrik Tenaga Nasional Bhd di Bukit Badong, Hulu Selangor.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor, Amin Lin Abdullah, berkata air yang dibekalkan kepada pengguna secara berjadual mengikut Zon 1 dan 2, menyegerakan pemulihan bekalan air.

Katanya, hampir semua kawasan di zon terbabit sudah mendapat bekalan air setakat jam 7 pagi tadi.

Dua zon berkenaan membabitkan Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kuala Langat.

"Kawasan di Zon 1 mencapai pemulihan 100 peratus manakala kawasan di Zon 2 mencapai pemulihan 99.5 peratus. Hanya di Klang bagi Zon 2 mencatatkan 96 peratus pemulihan bekalan air, yang selebihnya 100 peratus.

"Usaha sedang ditumpukan untuk memulihkan bekalan air di Kampung Rantau Panjang dan Taman Cempaka, masing-masing di Klang. Kita jangka pemulihan sepenuhnya bagi dua lokasi itu selewat-lewatnya petang ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengguna yang memerlukan bekalan air boleh menghantar SMS ke 15300 dengan menaip: TANKER Nama dan Alamat.

Mereka juga boleh merujuk laman sesawang www.syabas.com.my, aplikasi telefon pintar "mySyabas", Facebook "Air Selangor" atau Twitter "air_selangor" untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai bekalan air.

Berita Harian X