Rabu, 21 Disember 2016 | 10:52pm

Teruja aksi Liga Super punca Zaquan sertai Perak

PENYERANG Johor Darul Ta'zim (JDT) II, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak (kanan) bersaing dengan pemain Melaka United (MU), Ahmad Khuzaimi Piee (kiri) pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, Melaka, september lalu. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

IPOH: Rasa teruja selain keinginan mencabar kemampuan diri sendiri untuk beraksi dalam kancah Liga Super menjadi pendorong utama Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) II, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak, berpindah ke Perak musim depan.

Selepas tiga tahun terbabit dalam kancah Liga Perdana bersama pasukan Harimau Selatan, Zaquan memilih haluan berbeza apabila mengetahui beliau tidak akan kekal lama dengan JDT II. 

"Saya terpaksa cari pasukan bahagian satu untuk beraksi dalam Liga Super dan memilih Perak. 

"Saya rasa pilihan saya ini tepat kerana Perak memiliki himpunan pemain yang berkaliber," katanya selepas menjalani latihan bersama pasukan baharunya, petang tadi.  

Zaquan yang berasal dari Seremban berkata, beliau tidak menghadapi masalah pada hari pertama kerana mengenali ramai pemain The Bos Gaurus.  

Pemain kebangsaan itu bertekad memberikan yang terbaik kepada Perak untuk memenuhi impian majikannya. 

"Saya yakin kami mampu mencapai matlamat jika setiap pemain melaksanakan tugas dengan sepenuh hati," katanya. 

Pemain itu bagaimanapun berkata, kejayaan tidak datang dengan mudah, justeru semua pihak perlu bersabar dan memberi masa kepada pasukan.

Berita Harian X