Rabu, 21 Disember 2016 | 7:35pm
GAMBAR hiasan.

Bayi lelaki 5 bulan alami pendarahan dipercayai didera

KUCHING: Seorang bayi lelaki berusia lima bulan mengalami pendarahan di kepala dipercayai didera pengasuhnya di Matang Jaya, Petra Jaya, di sini, kelmarin.

Bayi malang berkenaan kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS).

Sumber berkata, ibu bapa mangsa mendakwa bayi mereka didera pengasuh selepas mangsa secara tiba-tiba tidak sedarkan diri, pada jam 11 pagi, selepas dijaga pengasuhnya.

Katanya, siasatan lanjut mendapati, mangsa mengalami kecederaan pada otak, selain mengalami pendarahan dalam mata.

"Pegawai Perubatan HUS yang curiga punca kecederaan bayi berkenaan kemudian membuat laporan polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan, Aidil Bolhassan, berkata susulan daripada itu, seorang wanita berusia 57 tahun ditahan di sebuah rumah di Jalan Matang, Petra Jaya, hari ini.

"Wanita yang juga pengasuh itu ditahan pada jam 1.45 tengah otak dan dibawa ke Balai Polis Batu Kawa. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendatangkan kecederaan," katanya.

Berita Harian X