Rabu, 21 Disember 2016 | 1:06pm

Lepasan PT3 masuk sekolah asrama penuh dapat RM500


BAZLAN (kiri) menyampaikan bantuan persekolahan kepada penerima, Muzerah Muda, 39, bersama anaknya, Muhammad Luqman Qausaur Nursin, setahun, pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Peringkat Kawasan DUN Batu Rakit di Dewan Sivik Batu Rakit, di Kuala Nerus, hari ini. - Foto Aswadi Alias

KUALA NERUS: Kerajaan negeri akan terus menyalurkan bantuan persediaan kemasukan asrama kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang ditawarkan melanjutkan pengajian di sekolah berasrama penuh di seluruh negara.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, Bazlan Abd Rahman, berkata setiap pelajar akan diberi bantuan RM500 seorang.

"Bantuan akan disalurkan oleh Yayasan Terengganu (YT) dan permohonan boleh dibuat melalui dalam talian," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit di Dewan Sivik Batu Rakit, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 2,912 pelajar menerima bantuan persekolahan berjumlah RM100 membabitkan peruntukan keseluruhan RM291,200.

Pelajar itu juga menerima baucar diskaun pembelian peralatan sekolah dari beberapa pasar raya di negeri ini.

Seramai 1,093 pelajar memperoleh keputusan semua A dalam PT3 2016 berbanding 699 pelajar tahun lalu.

Bazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, berkata keputusan PT3 tahun ini juga mencatatkan perubahan Gred Purata Negeri (GPN) apabila mendapat 3.0 berbanding 3.05 pada tahun 2015.

"Keputusan itu menjadikan Terengganu sebagai negeri terbaik bagi peperiksaan PT3 dan menunjukkan peningkatan selama tiga tahun berturut-turut sejak ia mula diperkenalkan pada 2014," katanya.

Berita Harian X