Rabu, 21 Disember 2016 | 12:55pm

Polis rampas 10.1 kilogram dadah

GEORGETOWN: Polis merampas 10.1 kilogram dadah pelbagai jenis bernilai RM546,500, dipercayai untuk pasaran tempatan, dalam serbuan di dua lokasi di negeri ini.

Tiga orang termasuk dua wanita turut ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghafar Rajab, berkata dalam serbuan pertama di Sungai Gelugor di sini, Ahad lalu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri menahan dua wanita berumur 29 dan 30 tahun.

Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas sebuah kereta milik seorang suspek itu, polis menemui dadah berisi heroin seberat 458 gram.

Selepas tangkapan itu, polis memeriksa rumah suspek di Butterworth dan menemui 15 paket heroin seberat 6.4 kilogram, selain premis itu turut dijadikan makmal memproses dadah.

"Susulan serbuan itu, kami menahan seorang lelaki berumur 52 tahun di sebuah flet di Bayan Lepas, semalam serta merampas 3.7 kilogram ketulan mampat heroin tulen," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

KETUA Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghafar Rajab menunjukkan dadah seberat 10.1 kilogram bernilai RM546,500 yang dirampas dalam serbuan di dua lokasi di Pulau Pinang, pada sidang media di Georgetown, hari ini. - Foto Mikail Ong

Semua suspek dipercayai mempunyai hubung kait dan sudah bergiat aktif sejak setahun lalu.

Kedua-dua suspek wanita direman sehingga 25 Disember ini, manakala suspek lelaki direman sehingga 27 Disember ini.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati jika disabit kesalahan.

ANTARA dadah yang dirampas dalam serbuan di dua lokasi di Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong
Berita Harian X