Rabu, 21 Disember 2016 | 10:05am

Zaquan hampir pasti sertai Bos Gaurus


PENYERANG Johor Darul Ta'zim (JDT) II, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak. - Foto Osman Adnan

IPOH: Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) II, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak dikatakan sudah hampir pasti ke Perak bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2017.

Menurut sumber, Zaquan, 29, akan memeterai ikatan dengan pasukan Bos Gaurus hari ini sekali gus menamatkan teka-teki oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan mengenai satu lagi 'tangkapan besar ' pasukan itu.

Puhat sebelum ini menyatakan bahawa masih ada dua kekosongan dalam pasukan dan salah satunya akan diisi oleh seorang pemain ternama.

Perak sebelum ini berjaya mendapatkan khidmat Nazrin Nawi, Jasazril Jamaluddin, Shahrom Kalam, Hafiz Kamal dan Idris Ahmad serta beberapa pemain muka baru dari pasukan lain.

Bos Gaurus juga sudah mengikat dua awang import baharu iaitu pemain Bulgaria, Vladislav Mitkov Mirchev dan pemain Palestin keturunan Chile, Yashir Pinto Islame dan dalam proses mencari calon keempat bagi melengkapkan kuota.

13 dibaca
Berita Harian X