Rabu, 21 Disember 2016 | 12:04am

Artis mangsa viral, sendiri buat sendiri tanggung

DENGAN pengalaman hampir 30 tahun dalam industri muzik, tidak hairanlah penyanyi, Datuk Hattan, terpanggil memberikan teguran kepada artis baharu yang ghairah meraih perhatian dalam ledakan teknologi maya ketika ini.

Bagi penyanyi Rendah Tak Berbuah ini, tiada apa yang lebih dikesalkan jika artis menjadi bahan kecaman hasil perlakuan sendiri.

Hattan berkata, ada segelintir artis yang tidak berfikir panjang sebelum menyebarkan sesuatu perkara atau isu sehingga ia menjadi viral dan dikutuk netizen.


JURI Duo Star, dari kiri, Adibah Noor, Datuk Hattan dan Datuk Acis. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman

Menurut penyanyi berusia 52 tahun ini, perkara berkenaan tentu saja boleh menjejaskan reputasi artis, malah merendahkan nilai eksklusif mereka.

"Tolonglah, sebelum memuat naik sebarang gambar, fikirlah dulu panjang-panjang, adakah ia boleh menyebabkan orang bercakap negatif mengenainya ataupun tidak.

"Apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila hendak ke tandas pun sempat muat naik gambar ke laman sosial. Begitu juga apabila tidak puas hati pada sesuatu perkara, ia disebarkan sehingga menjadi viral.

"Akhirnya, nama artis juga yang tampak buruk. Walaupun individu berkenaan berniat baik, bahan yang menjadi viral itu masih boleh menampakkan artis terbabit berimej atau memiliki sikap buruk di kalangan orang ramai," katanya.

Tambah Hattan, berikutan itu, beliau enggan membuka akaun laman sosial kerana ia dilihat lebih banyak mengundang keburukan daripada kebaikan.

Katanya, laman siber membuatkan persekitaran masyarakat mudah 'dijangkiti' fitnah. Semuanya disebabkan individu tidak bertanggungjawab boleh membangkitkan apa saja isu tanpa fakta.

"Sekarang, bukan saja laman sosial, malah penuh isu viral yang kita tidak tahu hujung pangkalnya.

"Begitupun ada bagusnya juga aspek viral ini kerana ia turut memberikan kebaikan. Sebagai contoh, isu yang melanda Rohingya, kanak-kanak hilang dan sebagainya. Tetapi, ia disalahgunakan," tegasnya.

Berikutan terlalu banyak individu yang menyebarkan maklumat yang belum tentu kebenarannya, Hattan tampil dengan program Kembara Bijak Sabah bagi menyampaikan kempen Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai cara mengelak isu viral tanpa fakta sahih.

Turut terbabit dalam program berkenaan ialah kumpulan lawak Zero dan beberapa selebriti lain.

"Mungkin mesej seperti ini takkan mencegah secara total kecenderungan masyarakat menyebarkan maklumat palsu di alam maya, tetapi sekurang-kurangnya sebahagian daripada kita pasti faham dengan kempen yang disampaikan.

"Sudah tiba masanya untuk kita melakukan sesuatu bagi membasmi masalah media sosial ini sedikit demi sedikit," kata Hattan.

Dalam perkembangan lain, Hattan dan anak remajanya, Adam, akan tampil berduet menerusi lagu baharu berjudul Klik. Lagu terbabit mengisahkan 'penyakit' di media sosial yang semakin merosakkan masyarakat dunia tanpa sedar.

104 dibaca
PENYANYI, Datuk Hattan memiliki pengalaman hampir 30 tahun dalam industri muzik. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman
JURI Duo Star, Datuk Hattan dan Adibah Noor. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman
Berita Harian X