Selasa, 20 Disember 2016 | 12:17am

Pesan arwah ayah jadi semangat ketika belajar

PUTRAJAYA: "Walaupun sedikit terganggu ketika mengulang kaji pelajaran, semangat yang selalu diberikan arwah ayah menjadi penguat untuk buat yang terbaik," kata Aliff Haikal Mohd Hamizar.

Beliau ialah anak sulung kepada bekas wartawan BH, Mohd Hamizar Abd Hamid, yang maut dalam kemalangan di Lebuh Sentosa di sini, pada Jun lalu.


ALIFF Haikal Mohd Hamiza antara calon Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Aliff Haikal yang mendapat keputusan 3A 7B selepas keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) diumumkan hari ini berkata, kejadian yang meragut nyawa ayahnya berlaku dua bulan sebelum beliau mengambil PT3 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16(1).

"Sebelum ini, ayah selalu mengimpikan mahu melihat saya naik ke pentas atas apa saja kejayaan yang saya capai. Disebabkan saya hanya dapat 3A 7B dalam PT3 ini, saya akan terus berusaha lagi ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya apa yang diinginkan ayah tercapai," katanya yang ditemani ibunya, Norsuriaty Awang Hassim.

Aliff Haikal berkata, beliau akan terus belajar di sekolah berkenaan dan berminat untuk mengambil jurusan kulinari.

Katanya, minat memasak itu turut dikongsi arwah bapanya dan mereka kerap masak bersama, sekali gus menjadi antara faktor mendorongnya memilih bidang kerjaya itu.

Sementara itu, di SMK Putrajaya Presint 16(1), 10 daripada 185 calon PT3 berjaya mendapat keputusan cemerlang semua A bagi semua mata pelajaran diambil.

Seorang calon yang medapat 10A, Hafeza Afreen Mirza Mohammad, berkata keputusan itu dicapai dengan pertolongan guru dan ahli keluarganya.

Beliau yang juga anak bongsu kepada Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab, berkata guru di sekolahnya banyak memberi tunjuk ajar dalam setiap subjek diambil.

"Selain itu, mereka (guru) juga banyak memberi motivasi kepada pelajar bagaimana untuk mudah memahami setiap subjek dan kami sentiasa diingatkan supaya belajar untuk faham, bukannya belajar semasa-mata untuk mendapat kejayaan. Mungkin itu yang mendorong saya mendapat kejayaan pada hari ini," katanya.

Berita Harian X