Selasa, 20 Disember 2016 | 12:10am

2016 tahun kontroversi Uqasha Senrose

TAHUN 2016 yang bakal berlabuh tirainya beberapa hari lagi mencatatkan 1,001 kenangan suka-duka bagi pelakon cantik, Uqasha Senrose, 25. Sejak menceburi dunia seni sekitar 2013, dirinya seperti besi semberani buat kontroversi. Satu persatu kisah kurang enak mendekati dan menyelubungi diri gadis ini. Malah, gosip panas dan kontroversi berkaitan dirinya lebih diperkatakan, berbanding bakat atau produk lakonannya.

Beberapa bulan lalu, kakak kepada Nelydia Senrose dan Raysha Rizrose ini mengejutkan ramai pihak apabila mengambil keputusan nekad untuk tidak lagi bertudung. Pelakon filem Paku Pontianak itu menanggalkan hijab yang dipakai sejak tiga tahun lalu kerana didorong perasaan hati yang enggan menipu diri.


UQASHA Senrose menanggalkan hijab yang dipakai sejak tiga tahun lalu kerana didorong perasaan hati yang enggan menipu diri. - Foto Munira Abdul Ghani

Keputusan diambil pada hujung Ogos lalu itu benar-benar mengejutkan ramai pihak, termasuk netizen yang pantas membuat hukuman atas lesen wira papan kekunci. Perkara itu tentu saja membuatkan Uqasha dipandang serong. Pemilik nama penuh Nik Zaris Uqasha Senrose ini bagaimanapun sedar, apa yang dilakukannya bukan contoh terbaik sebagai wanita Melayu beragama Islam.

"Khilaf itu saya tanggung sendiri padahnya. Namun, manusia di luar sana begitu pantas membuat penghakiman berbanding mengambil sikap untuk terus mendoakan yang baik. Namun, saya reda. Mahu atau tidak, saya harus kental dan kuat melalui hidup selepas berbakul-bakul kecaman dilemparkan atas kesilapan dilakukan.

"Cuma, selepas beberapa ketika kisah itu menjadi perhatian, saya tetap menjalani kehidupan biasa seperti dulu, macam orang lain. Sesiapa yang mahu menghentam atau apa saja yang condong ke arah negatif, saya letak ke tepi. Inilah jalan yang saya pilih dan saya mahu melupakan kisah lama serta membuka buku baharu," katanya dalam pertemuan bersama BH, baru-baru ini.


UQASHA Senrose ketika masih berhijab. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Bagi Uqasha, beliau tidak mampu menutup mulut orang daripada terus bersikap skeptikal terhadap dirinya.

"Kepada mereka yang selalu berfikiran negatif dan suka mencari salah orang, mereka lebih baik memperbetulkan diri terlebih dulu. Saya sendiri manusia yang lemah dan sentiasa mahu memperbaiki serta memperbetulkan diri.

"Sebelum kita ingin berkata sesuatu kepada orang lain, eloklah kita cerminlah diri dulu. Bagaimanapun, dengan kehebatan dan penangan media sosial sekarang, hukuman itu pantas dijatuhkan sesuka hati, seumpama pihak yang dikecam tiada hati dan perasan," katanya.

Menurut Uqasha lagi, dalam usahanya untuk tidak terkesan dan larut dengan kecaman netizen, beliau sesekali 'terbabas' juga saat membaca komen dilemparkan.

"Ketika diri tidak mahu melihat dan membaca komen netizen yang berbaur pedas serta kecaman, saya kadang-kadang terlepas pandang juga. Selepas membaca komen sebegitu, timbul pula rasa menyesal. Saya hanya manusia biasa dan saya tidak mampu untuk menutup mulut orang di luar sana. Cakaplah apa saja yang dimahukan jika itulah yang dirasakan mampu menggembirakan hati mereka semua," katanya.


DARI kiri, pelakon, Uqasha Senrose bersama Nelydia Senrose dan Raysha Rizrose. - Foto Munira Abdul Ghani

Di sebalik keperitan dilalui, Uqasha terus mengumpul kekuatan untuk bangkit daripada 'hukuman' atas kesilapan silam.

"Adik-beradik dan ibu saya, terutamanya, menjadi nadi sokongan di belakang. Diri sendiri juga kena kebal menepis semua aura negatif," katanya.

Mengenai kerjaya lakonan, rezeki bintang muda ini terus murah. Selepas menanggalkan tudung, tawaran lakonan untuknya bertandang seperti biasa. Ketika ini, Uqasha sedang menghabiskan baki penggambaran drama Syurgaku Tak Sempurna terbitan Dark Wave Pictures bagi siaran HyppTV di samping Raja Ilya dan Shah Iskandar.

Sebelum itu, beliau terbabit dalam penggambaran drama Kerana Anisa bagi slot Samarinda TV3 dan drama Hanya Kau Yang Satu.

"Saya masih terus aktif berlakon. Tawaran berlakon juga datang mencurah-curah. Pendek kata, undangan diterima sama saja seperti dulu. Malah, ada tawaran yang terpaksa ditolak kerana bercanggah tarikh, termasuk undangan berlakon filem," ujarnya.

Mengintai sisi peribadi, Uqasha mengakui dirinya memang sudah layak untuk melayari kehidupan berumah tangga.

Dikatakan sedang menjalinkan hubungan dengan kerabat dikenali sebagai Tengku Bakar, bintang Tundukkan Playboy Itu lebih selesa menyimpan perkara berkenaan sebagai hak peribadi.

"Mendirikan rumah tangga bukan perkara mudah. Banyak aspek perlu difikirkan, terutama apabila menyentuh soal tanggungjawab. Mungkin kedengaran klise, tetapi hubungan saya dengan jejaka itu masih pada peringkat berkawan. Hanya itu yang mampu saya jelaskan.

"Selagi belum ada ikatan pasti, saya sentiasa membuka pintu hati untuk mengenali orang lain. Saya belum berani menyatakan hubungan kami serius kerana bimbang pisang akan berbuah dua kali. Saya tidak mahu dikecewakan lagi, jadi memadai jika saya memberitahu antara kami sekadar bersahabat," katanya.

UQASHA ketika ini sedang menghabiskan baki penggambaran drama Syurgaku Tak Sempurna terbitan Dark Wave Pictures bagi siaran HyppTV di samping Raja Ilya dan Shah Iskandar. - Foto Munira Abdul Ghani
UQASHA akui tidak tidak mampu menutup mulut orang daripada terus bersikap skeptikal terhadap dirinya. - Foto Munira Abdul Ghani
Berita Harian X