Isnin, 19 Disember 2016 | 10:41pm

Terengganu terbaik PT3, MB ucap tahniah

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri mengucapkan tahniah atas kejayaan cemerlang seramai 1,093 pelajar yang memperoleh semua A dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang diumumkan hari ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata jumlah itu meningkat berbanding 699 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang PT3 pada tahun lalu.


MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Seramai 20,739 pelajar di Terengganu menduduki PT3 tahun ini.

Katanya, keputusan PT3 tahun ini juga mencatatkan perubahan Gred Purata Negeri apabila mendapat 3.0 berbanding 3.05 pada tahun 2015.

"Ini menjadikan Terengganu sebagai negeri terbaik bagi peperiksaan PT3 dan menunjukkan peningkatan selama tiga tahun berturut-turut sejak ia mula diperkenalkan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ahmad Razif juga mengucapkan tahniah kepada Pejabat Pendidikan Daerah Marang kerana muncul sebagai daerah terbaik dan Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Dato Haji Abbas atas kejayaan 91 pelajarnya mendapat 11A dalam PT3.

Beliau turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh tenaga pengajar dan pendidik serta ibu bapa, yang bertungkus-lumus memastikan kejayaan pelajar dan anak mereka.

Berita Harian X