Isnin, 19 Disember 2016 | 5:28pm

7 sahabat baik pelajar terbaik PT3


SEBAHAGIAN 20 pelajar terbaik yang mendapat keputusan cemerlang 10A dan 11A semua matapelajaran dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bergembira di Sekolah Kebangsaan Menengah Long Gafar 1, Pasir Tumboh. - Foto Nik Abdullah Nik Omar.

KOTA BHARU: Tujuh sahabat karib dalam pasukan futsal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Gafar, di sini, muncul pelajar terbaik Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), di sini.

Mereka adalah antara 13 pelajar yang memperoleh keputusan 11A; tujuh orang mendapat 10A, seorang 9A dan tujuh lagi menerima 7A daripada 189 calon PT3 sekolah berkenaan.

Seorang anggota pasukan futsal sekolah itu, Aqil Zakwan Abdul Rahim, 15, berkata walaupun sibuk dalam sukan futsal sebagai anggota pasukan Sucide FC sekolah itu, beliau tetap memberi tumpuan penuh dalam pelajaran.

Katanya, selain semangat setia kawan dalam pasukan futsal, beliau dan rakan lain memberi komitmen untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam PT3.

"Saya bersyukur memperoleh 11A dan rakan lain dalam pasukan futsal juga mendapat keputusan sama," katanya ditemui di sekolah berkenaan, hari ini selepas menerima keputusan PT3, yang diumumkan Pengetua sekolah, Kamarudin Jaafar.

Seorang lagi pemain futsal sekolah itu, Muhammad Nazma, 15, yang memperoleh 10A, berkata tumpuan penuh dalam kelas adalah antara faktor kejayaan mereka.

"Selebihnya mengulang kaji disertai amalan solat tahajud setiap malam seawal jam 3 pagi," kata anak sulung lima beradik itu.

Terdahulu, Kamarudin berkata, sebagai sekolah pinggir bandar, SMK Long Gafar mencatatkan keputusan cemerlang dalam PT3 tahun ini.

"Ia hasil kerjasama guru dan calon PT3 yang sentiasa mengikuti kelas tambahan anjuran sekolah setiap hari selepas tamat sesi persekolahan," katanya.

173 dibaca
Berita Harian X