Isnin, 19 Disember 2016 | 4:44pm

HALUAN bina rumah sementara mangsa gempa di Aceh


KETUA Biro Misi Kemanusiaan Dr Baharudin Suri (dua dari kanan) bersama tiga sukarelawan lain yang turut menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa di daerah Pidie Jaya, Aceh, Indonesia. - Foto Nursyahirah Marzuki

SEPANG: Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) akan membina rumah sementara untuk mangsa gempa bumi yang melanda Aceh pada 7 Disember lalu.

Ketua Biro Misi Kemanusiaan HALUAN, Dr Baharudin Suri, berkata pihaknya sudah melantik beberapa sukarelawan di Aceh untuk membantu proses membina 10 rumah sementara bagi pembangunan fasa pertama.

"Kita akan membina rumah sementara ini di daerah Pidie Jaya kerana ia adalah kawasan pedalaman yang sukar untuk menerima bantuan, malah mereka kini terpaksa berteduh di bawah khemah terbuka.

"Rumah sementara berkeluasan 30 meter persegi ini akan dibina menggunakan buluh dan kayu terpakai serta beratap rumbia, selain berdindingkan anyaman buluh, yang boleh bertahan untuk tempoh lama," katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di sini hari ini.

Beliau bersama tiga lagi sukarelawan selamat tiba di tanah air selepas selesai misi bantuan rawatan kesihatan dan kaunseling kepada mangsa gempa yang cedera atau mengalami trauma.

Dr Baharudin berkata, rumah sementara bernilai RM1,500 yang dilengkapi dua bilik itu lebih selesa, selamat dan berdaya tahan berbanding khemah plastik yang mereka gunakan untuk berteduh ketika ini.

"Bantuan rumah ini antara inisiatif kita untuk memberi perlindungan kepada mangsa gempa sebelum Kerajaan Indonesia dapat membantu membina semula rumah mereka," katanya.

Berita Harian X