Isnin, 19 Disember 2016 | 4:34pm

Dua hari ada air, dua hari tiada hingga Jumaat

KETUA Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang semasa sidang media gangguan bekalan air akibat kerja senggaraan TNB di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. Pemulihan berjadual bekalan air akan dilakukan dalam tempoh empat hari mengikut dua zon, berasaskan konsep pengagihan 'dua hari ada air, dua hari tiada air', sebelum pulih sepenuhnya Jumaat ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Pemulihan berjadual bekalan air akan dilakukan dalam tempoh empat hari bermula hari ini mengikut dua zon, berasaskan konsep pengagihan 'dua hari ada air dan dua hari tiada air', sebelum pulih sepenuhnya Jumaat ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, berkata kebiasaannya apabila henti tugas loji rawatan air utama dilakukan, kawasan yang terletak di hujung sistem bekalan air dan kawasan tinggi akan mengalami gangguan bekalan air lebih lama.

"Ini disebabkan jumlah air secukupnya diperlukan supaya sistem agihan dapat berfungsi seperti sedia kala dalam keadaan rizab margin yang rendah iaitu dua hingga tiga peratus saja," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, keputusan untuk melaksanakan penyelenggaraan berjadual Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Badong, Hulu Selangor, hari ini dibuat secara kolektif selepas mengambil kira beberapa faktor.

Antara yang diambil kira termasuk pengguna di Lembah Klang masih terkesan dengan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih sebanyak enam kali pada September dan Oktober lalu serta kerja henti tugas berjadual dilakukan di LRA Langat pada 6 Disember lalu yang menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Hulu Langat, Petaling dan Kuala Lumpur.

Selain itu, katanya, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang berlangsung pada tarikh itu juga akan terkesan akibat gangguan bekalan air, selain penggunaan air perkapita pada hujung tahun (musim tengkujuh) biasanya lebih rendah berbanding bulan lain.

"Berasaskan kepada data pemantauan rapi oleh TNB ke atas sistem PMU Bukit Badong, KeTTHA memutuskan kerja selenggaraan pencegahan TNB perlu dilakukan segera bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik tidak berjadual yang lebih serius," katanya

`

Berita Harian X