Isnin, 19 Disember 2016 | 10:16am

Tipu invois, SPRM tahan dua suspek

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menahan dua individu termasuk seorang pengurus syarikat berhubung tuntutan palsu yang dibuat kepada satu jabatan kerajaan, di sini, semalam.

Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Moh Samsudin Yusof, berkata penahanan itu dibuat selepas disyaki berlaku tuntutan palsu membabitkan tujuh dokumen invois berjumlah lebih RM132,000.

Katanya, kedua-dua suspek dibebaskan petang semalam dengan jaminan RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

"Kesalahan itu boleh dituduh mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 atau Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

"Kedua-dua kesalahan jika disabitkan mahkamah boleh dihukum denda atau penjara atau kedua-duanya sekali", katanya di sini, malam tadi.

Berita Harian X