Isnin, 19 Disember 2016 | 12:39am

Siti bolot 4 anugerah AIM

KUALA LUMPUR: Datuk Siti Nurhaliza melabuhkan tirai 2016 dengan kejayaan besar pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-22, apabila mengungguli empat kategori daripada tujuh pencalonan.

Penyanyi nombor satu tanah air itu memenangi anugerah Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) menerusi Menatap Dalam Mimpi. Beliau memenangi kategori itu untuk kali ke -13.


DATUK Siti Nurhaliza mengungguli empat kategori daripada tujuh pencalonan pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-22 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, malam ini. - Foto Aziah Azmee **225195

Lagu berkenaan turut dipilih sebagai pemenang Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu.

Dua lagi kategori yang dimenangi ialah Lagu Nasyid Terbaik (Mikraj Cinta) dan Album Terbaik (Datuk Siti Nurhaliza Unplugged).

Siti juga mengungguli kategori baharu, Penyanyi Pilihan Malaysia yang menyaksikan pemenangnya diundi peminat.

Akim Ahmad menerusi kumpulannya Akim & The Majistret dinobatkan sebagai pemenang Persembahan vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) bagi lagu Potret.

Kategori Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu pula menjadi milik Misha Omar dan Hafiz Suip (Terimaku Seadanya) serta DeFam meraih kemenangan menerusi Supergirls bagi kategori Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Berkumpulan).

Azlan & Typewriter merangkul anugerah Lagu Rock Terbaik menerusi lagu Mata Hati.

Faizal Tahir pula menerima dua trofi, masing masing Lagu Pop Terbaik dan Lagu Terbaik menerusi lagu Sejati. Lagu Janji nyanyian Altimet dan Takahara Suiko pula terpilih sebagai Lagu Hip Hop Terbaik.

Turut cemerlang adalah lagu dendangan Reena Nicky, Joget Sulam Sakti yang diumumkan Lagu Pop Etnik Terbaik, manakala SonaOne memenangi kategori Lagu Inggeris Tempatan Terbaik dengan lagu ciptaannya sendiri berjudul Firefly.

SonaOne mengulangi kejayaan pada AIM 21 untuk kategori sama menerusi lagu No More. Naib Juara Akademi Fantasia 2015, Syamel muncul pemenang kategori Artis Baharu Terbaik.

Anugerah Sri Wirama AIM22 diberikan kepada ratu Jazz negara, Datuk Sheila Majid atas sumbangan seni muziknya selama 32 tahun manakala Yuna diumumkan sebagai penerima Anugerah Kembara selepas melebarkan sayap ke Amerika Syarikat termasuk kolaborasi cemerlangnya bersama Usher menerusi lagu Crush.

AIM 22 dihoskan Harith Iskander dan Adibah Noor. Selepas setahun ditunda, AIM 22 anjuran Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) turut memperkenalkan lima kategori baharu.

Kategori berkenaan ialah Lagu Muat Turun Paling Tinggi, Lagu Strim Paling Tinggi, Video Muzik Rasmi Paling Tinggi Ditonton Di YouTube dan Lagu Nada Dering Pemanggil Jualan Paling Tinggi dan Penyanyi Pilihan Malaysia.

AIM 22 turut membariskan segmen persembahan antaranya membabitkan Rabbani, Hazama, Syamsul Yusof, Daly Filsuf, Sufian Suhaimi, Aiman Tino, Sakura Band, Ameng, Akim & The Majistret, Projector Band dan Khalifah.

Senarai pemenang

- Artis Baru Terbaik: Syamel

- Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki): Akim & Majistret (Potret)

- Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita): Datuk Siti Nurhaliza

- Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Berkumpulan): DeFam (Supergirls)

- Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu: Misha Omar dan Hafiz Suip (Terimaku Seadanya)

- Kulit Album Terbaik: Sekumpulan Orang Gila (Bahtera)

- Rakaman Album Terbaik: Panic Bird (Froya)

- Video Muzik Terbaik: Not For Sale (Casper, Stacy)

- Lagu Pop Etnik Terbaik: Joget Sulam Sakti (ciptaan Raja Iskandar, lirik Hairul Anuar Harun, nyanyian Reena Nicky)

- Lagu Nasyid Terbaik: Mikraj Cinta (Hafiz Hamidun, Fedtri Yahya, Datuk Siti Nurhaliza)

- Lagu Pop Terbaik: Sejati (Faizal Tahir & Mike Chan, Faizal Tahir)

- Lagu Rock Terbaik: Mata Hati (Omar k, Audi Mok & Azlan, Azlan & The Typewriter)

- Lagu Hip Hop Terbaik: Janji (Anas Amdan & Ahmad Khair, Altimet & Terry Salim, Altimet & Takahara Suiko)

- Lagu Inggeris Tempatan Terbaik: Firefly (SonaOne)

- Anugerah Kembara: Yuna

- Anugerah Sri Wirama: Datuk Sheila Majid

- Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu: Menatap Dalam Mimpi (Aubrey Suwito/ Datuk Siti Nurhaliza)

- Lagu Terbaik: Sejati (Faizal Tahir & Mike Chan, Faizal Tahir)

- Album Terbaik: Datuk Siti Nurhaliza Unplugged

- Lagu Muat Turun Paling Tinggi: Potret (Akim & Majistret)

- Lagu Strim Paling Tinggi: Sudah Ku Tahu (Projector Band)

- Video Muzik Rasmi Paling Tinggi Ditonton Di Youtube: Sudah Ku Tahu (Projector Band)

- Lagu Nada Dering Pemanggil Jualan Paling Tinggi: Setia (Elizabeth Tan dan Faizal Tahir)

- Penyanyi Pilihan Malaysia: Datuk Siti Nurhaliza

PEMENANG Artis Baru Terbaik, Syamel yang juga Naib Juara Akademi Fantasia 2015. - Foto Aziah Azmee
AZLAN & Typewriter merangkul anugerah Lagu Rock Terbaik menerusi lagu Mata Hati. - Foto Aziah Azmee
Faizal Tahir menerima dua trofi, masing masing Lagu Pop Terbaik dan Lagu Terbaik menerusi lagu Sejati. - Foto Aziah Azmee
SONAONE mengulangi kejayaan pada AIM 21 untuk kategori sama menerusi lagu No More. - Foto Aziah Azmee
Berita Harian X