Isnin, 19 Disember 2016 | 12:04am

Emas serikan kulit muka

SEMAKIN meniti usia, garis penuaan kelihatan ketara pada wajah, membuatkan seseorang akur dengan hakikat dirinya tidak lagi seperti remaja belasan tahun.

Meskipun penuaan satu kitaran hidup yang tidak dapat dielakkan, ramai tetap berusaha untuk mengembalikan keremajaan kulit supaya wajah tampil menyerlah, berseri dan halus.

Misalnya, Ratu Cleopatra mengamalkan rawatan emas sejak beribu tahun lalu yang dikatakan untuk tujuan kecantikan dan rahsia awet muda beliau.


Serbuk emas antara bahan disapukan pada wajah untuk menaikkan seri. Foto Roslin Mat Tahir

Sinonim dengan kemewahan, emas dan wanita dua perkara tidak dapat dipisahkan, apatah lagi emas ditakrifkan sebagai perhiasan diri, lambang kemegahan dan cita rasa mewah.

Bahkan, ada orang obses dengan emas, menjadikan perhiasan itu aksesori wajib yang perlu digayakan dalam setiap barangan miliknya.

Rawatan wajah menggunakan hablur emas 24K, misalnya mempunyai peminat tersendiri meskipun menelan kos ratusan ringgit  bagi setiap sesi dan hanya ditawarkan di sesetengah salun kecantikan.

Teknik rawatan menggunakan emas kini sudah digunakan secara meluas dalam bidang kosmetik dan dihasilkan dalam bentuk sabun, serum, penyegar, wangian dan skrub.

Fenomena ini sekali gus menyaksikan pertalian akrab wanita dan emas, selain menandakan sambutan yang menggalakkan bagi wanita yang ingin mencantikkan kulit.


Nurhaniza Abdullah Amri. Foto Roslin Mat Tahir

Pengarah Urusan Srisari Herbs, Nurhaniza Abdullah Amri, 35, berkata dalam bidang kosmetik hablur emas berkenan diolah dengan campuran kolagen, mutiara dan bahan lain.

"Bukan hanya hablur emas semata-mata tetapi bagi kesan menyeluruh produk ini diolah dengan bahan kecantikan lain supaya mencantikkan, menegangkan, memudarkan parut, mencerah dan meremajakan kulit serta menaikkan seri wajah. 

"Rawatan ini disyorkan kepada wanita yang berusia 25 tahun ke atas dan perlu dilakukan sekali sebulan atau tiga bulan sekali bergantung keadaan kulit dan menjadi rawatan popular di luar negara khususnya Jepun," katanya.

Umumnya, kitaran kulit dan pertambahan sel baharu berlaku dalam tempoh 28 hari dan seeloknya rawatan wajah dilakukan dalam tempoh sama.

Katanya, rawatan wajah emas, mengurangkan jeragat, jerawat, tona kulit tidak sekata, kedutan halus atau kulit kering.

Beliau yang mempunyai salun kecantikan di Tadisma Business Park dekat Shah Alam, berkata kulit akan menjadi lebih anjal selepas rawatan yang mengambil masa satu hingga satu jam setengah.


Antara bahan untuk rawatan kecantikan wajah emas. Foto Roslin Mat Tahir

"Rawatan ini disertai dengan teknik urutan menaikkan seri wajah. Wajah akan diurut dengan memfokuskan titik khusus pada wajah. Ia membantu merangsang sel kolagen, melancarkan peredaran darah dan mengurangkan stres dan sakit kepala," katanya yang mengusahakan salun kecantikan sejak lima tahun lalu lalu.

Disebabkan rawatan ini menggunakan hablur emas 24K, untuk melakukannya ia menelan kos antara RM200 hingga RM500 sekali rawatan.

Selepas rawatan ini kulit terasa lebih anjal dan cerah. Rawatan ini mengambil masa sejam setengah dan disyorkan dilakukan sebulan sekali untuk memberikan kesan yang lebih baik.


Serbuk emas yang digunakan untuk mencantikkan kulit wajah. Foto Roslin Mat Tahir

Kaedah rawatan wajah emas:

1. Wajah dibersihkan dengan pembersih.

2. Wajah di skrub untuk menanggalkan sel kulit mati.

3. Urutan menaikkan wajah dilakukan dengan menekan titik tertentu.

4. Kepingan hablur emas ditampalkan di bahagian muka.

5. Serum disapu ke seluruh wajah dan diusap sehingga hablur emas meresap masuk ke dalam kulit.

6. Urutan dilakukan di seluruh wajah untuk melancarkan pengaliran darah .

INFO: Rahsia kejelitaan lain puteri bangsawan Mesir, Ratu Cleopatra

* Mandi susu untuk mencantikkan kulit, membuatkan kulit halus, lembut dan mengelupaskan sel kulit mati.

* Selalu menggunakan sabun yang diperbuat daripada tanah liat. lemak haiwan dan tanah liat.

* Gemar menggunakan wangian aroma semula jadi seperti lavender, rosemary, air mawar, thyme dan

memasukkan wangian ke dalam air mandian.  

139 dibaca
Rawatan wajah emas di Sri Sari Herbs Sdn Bhd. Foto Roslin Mat Tahir
Berita Harian X