Ahad, 18 Disember 2016 | 11:05pm
KEADAAN kereta PERODUA Kancil yang dinaiki mangsa putus dua.

Kereta putus dua, wanita maut


KEADAAN kereta PERODUA Kancil yang dinaiki mangsa putus dua.

SARIKEI: Seorang wanita maut apabila tercampak keluar kira-kira lima meter dari kereta yang dinaikinya dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 13, Jalan Sarikei-Bintangor, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, Perodua Kancil yang dinaiki mangsa bersama seorang lelaki dari arah Sarikei ke Bintangor turut terputus dua selepas bertembung dengan sebuah Hyundai Sonata.

Mangsa, Tiong Mee Chuo, 59, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta yang dinaikinya, Yung Pang Yii, 62, mengalami kecederaan.

Pemandu kereta Hyundai Sonata yang datang dari arah Bintangor, Wong Lee Hook, 40, juga mengalami kecederaan.


MANGSA yang tercampak keluar dari kenderaan disahkan meninggal dunia.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.50 petang dan sebuah jentera dengan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei dikejarkan ke tempat kejadian.

"Anggota yang tiba di lokasi pada jam 7.03 malam mengangkat mangsa yang tercampak keluar dari kereta itu dan menyerahkannya kepada pihak ambulans.

"Bagaimanapun, pihak paramedik mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan," katanya.

Berita Harian X