Ahad, 18 Disember 2016 | 10:08pm
GAMBAR hiasan.

Ratusan nahas di AS akibat ribut salji

DENVER: Ribut salji, hujan beku dan suhu mencengkam tulang menyelubungi kawasan tengah dan pantai timur Amerika Syarikat (AS), menyebabkan beratus-ratus kemalangan di jalan berais, menjejaskan beli belah sempena Krismas.

Sekurang-kurangnya sembilan kematian disebabkan jalan licin dan pihak berkuasa sedang menyiasat beberapa kematian lain yang mungkin disebabkan cuaca.

Nahas terburuk berlaku di Baltimore apabila sebuah lori tangki membawa petrol tergelincir di lebuh raya dan meletup.

Menurut pihak berkuasa, dua orang maut dalam perlanggaran hampir 70 kenderaan di Interstate 95.

Pegawai hospital berkata, hampir 24 orang dirawat akibat cedera termasuk patah tulang.

Ketua Bomba Baltimore, Roman Clark berkata, masih terlalu awal untuk mengenal pasti punca nahas.

Amaran cuaca sejuk dikeluarkan di Denver hingga ke Bangor, Maine. Lapangan terbang melaporkan ratusan kelewatan penerbangan atau pembatalan, lebuh raya dan laluan bertol mengurangkan had laju manakala pihak berkuasa menggesa pemandu supaya lebih berhati-hati.

Berlaku berpuluh kemalangan di Indiana dengan dua mengakibatkan kematian akibat hujan batu dan ais.

Di Ohio, seorang wanita dari Columbus maut apabila keretanya terbabas di atas jalan licin. Dalam satu lagi nahas di Baltimore, enam orang dibawa ke hospital selepas nahas di I-695 membabitkan 15 hingga 20 kenderaan.

Di Nebraska, Timbalan Sherif, Douglas Cunty, berkata seorang mangsa maut semalam apabila kenderaannya terbabas di atas jalan licin di utara Omaha lalu melanggar pokok sebelum terbakar.

Suhu di Minneapolis-St Paul dijangka turun kepada 20 darjah Celsius di bawah paras beku semalaman. Orang ramai dinasihat berada dalam rumah sepanjang hujung minggu. Suhu rendah dijangka mencecah empat darjah Celsius di Chicago hari ini.

Sebahagian enam negeri dari Missouri hingga ke Mississippi, menerima ancaman puting beliung atau ribut petir buruk.

Di Virginia, sebuah jentera bomba milik Fairfax County terbabas di atas jalan licin ketika berkejar ke tempat nahas, namun tiada siapa cedera.

Sementara itu, lebih 30 nahas dan kematian dilaporkan di bahagian utara AS, kata pihak berkuasa. - AP

Berita Harian X