Ahad, 18 Disember 2016 | 7:31pm

14 maut bas bertembung trak di Afghanistan

ANGGOTA tentera mengawal lalu lintas susulan kemalangan itu. - Sumber thenews.com.pk

KABUL: Sekurang-kurangnya 14 maut dan puluhan lagi cedera apabila sebuah bas penumpang bertembung dengan trak di barat Afghanistan, dalam kemalangan jalan raya terbaru di negara bergolak itu.

Wanita dan kanak-kanak adalah antara mangsa yang maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Herat-Kabul di wilayah Farah, kawasan yang teruk terjejas akibat pemberontakan Taliban.

"Empat belas terbunuh dan 41 lagi cedera," kata jurucakap gabenor Farah, Mohammad Naser Mehri.

Mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital tempatan untuk mendapatkan rawatan.

Afghanistan mempunyai antara jalan paling bahaya di dunia dan undang-undang trafik jarang dikuatkuasakan.

Ramai penduduk bergantung kepada kenderaan awam yang sudah uzur dan kemalangan jalan raya dengan kadar kematian tinggi adalah perkara biasa di negara itu.

Pemandu bas pula suka memandu secara cuai pada kelajuan tinggi apabila melalui kawasan militan.

September lalu, sekurang-kurangnya 35 terbunuh apabila bas bertembung dengan lori tangki minyak dan terbakar di wilayah Zabul.

Sementara Mei lalu, pertembungan dua bas dan lori tangki menyebabkan 73 terkorban di wilayah Ghazni. - AFP

Berita Harian X