Ahad, 18 Disember 2016 | 7:09pm
KETUA Sekretariat Misi Bantuan Biro Kebajikan UMNO (BKUM), Mohd Shaoubli Jamal (tengah) bersama anggota misi bantuan kemanusian gempa bumi Aceh tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2), hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

BKUM tamat misi bantuan gempa Aceh

SEPANG: Pasukan Bantuan Biro Kebajikan UMNO (BKUM) membabitkan 20 peserta menamatkan misi bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi di kawasan Pidie Jaya, Aceh dengan jaya.

Selepas lima hari berhadapan pelbagai cabaran, mereka selamat kembali ke tanah air dan tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 11.30 pagi dengan penerbangan AirAsia.

Ketua Sekretariat Misi Bantuan BKUM, Mohd Shaoubli Jamal, berkata sukarelawan BKUM diberi penghormatan apabila menjadi satu-satunya badan luar yang dibenarkan membantu merawat mangsa gempa bumi di Rumah Sakit Umum Pidie Jaya.

Jelas beliau, kumpulan sukarelawan itu membabitkan lima doktor dan empat paramedik yang ditugaskan untuk merawat lebih 300 pesakit termasuk memberi kaunseling di hospital berkenaan.

"Sepanjang berada di hospital ini, kami sentiasa dalam kebimbangan dan pernah merasai dua gegaran yang menimbulkan kekecohan di kalangan pesakit," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Misi bantuan BKUM itu bermula pada 14 Disember lalu, tertumpu ke kawasan Pidie Jaya yang terjejas teruk akibat gempa bumi 7 Disember lalu yang berukuran 6.4 pada skala Richter dan mengorbankan 102 nyawa.

Shoubli berkata, majoriti mangsa masih trauma dengan kejadian gempa bumi itu tetapi sukarelawan BKUM berjaya memberi keyakinan melalui sesi kaunseling di klinik sementara yang dibuka di Masjid Agung, Meureudu berhampiran kawasan itu.

"Kebanyakan penduduk yang mengalami penyakit terputus bekalan ubat disebabkan kejadian ini selain kekurangan doktor untuk merawat ramai pesakit yang memerlukan rawatan selepas ditimpa kemalangan akibat gempa bumi ini.

"Pihak kami tidak bercadang menyambung misi ini kerana kerajaan Indonesia akan menutup semua misi bantuan dari luar pada 20 Disember ini bagi kerja-kerja pembangunan di kawasan yang ditimpa gempa," katanya.

Berita Harian X