Ahad, 18 Disember 2016 | 5:55pm

Kanak-kanak terperangkap 45 minit dalam kereta


ANGGOTA bomba cuba membuka pintu kereta untuk menyelamatkan kanak-kanak lelaki yang tertidur dalam kereta yang terkunci di tempat letak kenderaan di Hospital Seri Manjung. - Foto ihsan Bomba

MANJUNG: Seorang bapa cemas apabila gagal membuka pintu kereta untuk mendapatkan anaknya berusia lima tahun yang tertidur di dalam kenderaan itu di tempat letak kereta di Hospital Seri Manjung di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, mangsa yang hanya dikenali sebagai Hakim dikatakan tertidur di dalam kereta yang berkunci dari dalam dengan enjin dihidupkan ketika menunggu bapanya mengambil ubat untuknya di hospital berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Seri Manjung, Mior Azman Mahmud, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.35 pagi bagi membantu membuka pintu kereta berkenaan apabila kanak-kanak itu tidak terjaga dari tidur walaupun banyak kali cuba dikejutkan.

"Setibanya di tempat kejadian, anggota bomba menggunakan dawai dalam usaha membuka pintu sementara anggota lain cuba memanggil dan mengetuk cermin kereta itu untuk mengejutkan mangsa yang sedang tidur.

"Ketika pihak bomba terus berusaha membuka pintu, tidak lama selepas itu kanak-kanak itu tersedar dan membuka pintu kereta berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat kanak-kanak berkenaan demam dan ada kesan suntikan di tangannya dan mungkin kerana itu dia menunggu di dalam kereta sementara bapanya mengambil ubat sehingga tertidur.

Katanya, operasi tamat jam 10.58 pagi.

Berita Harian X