Ahad, 18 Disember 2016 | 10:55am

RM12j dijimatkan daripada pembinaan Jambatan Batang Sadong - PM

SADONG JAYA: Sebanyak RM12 juta dapat dijimatkan bagi pembinaan Jambatan Batang Sadong, di sini, jambatan merentasi sungai terpanjang di Sarawak, berbanding kos asal RM243 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata secara keseluruhannya, kos pembinaan jambatan sepanjang 1.48 kilometer itu membabitkan RM231 juta termasuk pembayaran pampasan tanah dan bayaran konsultan.

"Projek pembinaan jambatan berkenaan saya umumkan secara spontan pada 2011, selepas melihat sendiri kesulitan penduduk yang terpaksa menunggu feri semata-mata mahu ke seberang.

"Walaupun ketika itu projek jambatan terbabit tidak ada dalam rancangan dan bajet, saya umum juga mahu buat jambatan. Hari ini saya lega dan bersyukur, semuanya selesai dilaksana," katanya berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Batang Sadong, di sini, pagi ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Openg mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Abd Ghani.


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Openg dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mendengar penerangan dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri mengenai Jambatan Batang Sadong di Majlis Perasmian Jambatan Sadong di Sadong Jaya. - Foto NSTP/Nadim Bokhari

Sementara itu, Najib berkata, selain melengkapkan jaringan jalan raya dalam projek Lebuh Raya Pan Borneo, satu lagi projek perhubungan di Sarawak membabitkan pembinaan jajaran pesisir pantai rancak dilaksanakan.

"Bagi jajaran pesisir pantai, projek pembinaan Jambatan Samarahan kini sudah 51 peratus siap dan dijangka dapat digunakan pada 2018. Bukan itu sahaja, projek jajaran berkenaan akan diperluas merangkumi pembinaan Jambatan Batang Lupar sepanjang lima kilometer," katanya.

Beliau berkata, kos pembinaan bagi Jambatan Batang Lupar dianggarkan bernilai RM1 bilion dengan kos dikongsi sama rata antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

Berita Harian X