Ahad, 18 Disember 2016 | 8:03am

Huazong kecewa putar belit projek ECRL


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Pengerusi Gabungan Persatuan Cina Pahang (GPCP), Tan Sri Pheng Yin Huah (tiga dari kiri) melihat dokumen ikrar sumpah sebagai ahli jawatankuasa baru pada Majlis Makan Malam bersama GPCP di Hotel Zenith. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUANTAN: Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) kecewa dengan dakwaan bahawa projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) boleh menjejaskan hak dan kedaulatan negara kepada China.

Presiden, Tan Sri Pheng Yin Huah, berkata pihaknya berpendapat projek itu adalah baik dan mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan Pantai Timur.

Katanya, Huazong kesal dengan cubaan sesetengah pihak menyerang serta memutarbelitkan isu pembinaan ECRL.

"Huazong berpendapat pihak tertentu sengaja menyebarkan fitnah bagi memburuk-burukkan usaha ikhlas kerajaan membangunkan ekonomi.

"..Perdana Menteri bukan sahaja gigih membangunkan ECRL malah Mass Rapid Transit (MRT) serta Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR). Inisiatif terbabit mampu mencetuskan gelombang kemajuan di pelbagai kawasan," katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis makan malam ulang tahun ke-31 GBCP yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penyertaan syarikat gergasi seperti China Communications Construction Company Ltd (CCCC) dan CRRC Corporation membuka pintu kepada pembentukan dan pembangunan industri kereta api sekali gus memberi impak transformasi ekonomi.

"Huazong ingin mengesyorkan supaya Perdana Menteri mewujudkan satu pakatan konglomerat Malaysia-China dalam bidang pembuatan landasan kereta api dan meletakkannya sebagai satu daripada industri ikonik dalam Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP)," katanya.

Yin Huah yang juga Presiden Gabungan Persatuan Cina Pahang (GBCP) berkata, pihaknya percaya pakatan strategik Malaysia-China dalam sektor pembuatan landasan kereta api adalah berdaya maju dan membawa kesan limpahan besar kepada ekonomi.

Berdasarkan kedudukan MCKIP yang cukup strategik, industri yang bertapak di situ berupaya menjadikannya sebagai hab untuk menembusi pasaran ASEAN.

Huazong menyokong penuh inisiatif Najib dalam semua aspek kerjasama antara Malaysia dengan China untuk mengatasi ketidakstabilan ekonomi.

"Kami menolak sangkaan buruk dan putar belit yang dimainkan segelintir pihak kerana didorong politik serong dan sesat," katanya.

Berita Harian X