Ahad, 18 Disember 2016 | 6:13am

Seimbang pengajian akademik, al-Quran


Arif Alauddin (kanan) bersama pelajar pada sesi hafazan di Tahfiz Riyadh Restu. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Rumah kayu dengan kemudahan serba sederhana sering dikaitkan dengan sekolah pondok atau pengajian tahfiz al-Quran. Menjejakkan kaki ke Smart Tahfiz Riyadh Restu, Kuang, Selangor, menafikan persepsi itu.

Reka bentuk bangunan berkonsepkan rumah tradisional Melayu itu mempunyai tarikan tersendiri dan dikelilingi pohon hijau memberi suasana mendamaikan yang pastinya begitu sesuai bagi untuk mempelajari ilmu al-Quran.

Dibuka sejak 2015, pusat tahfiz yang ditubuhkan oleh Kolej Restu Shah Alam dengan kerjasama Yayasan Restu berbeza dengan maahad tahfiz lain kerana hanya menyediakan pembelajaran jangka pendek (fast track) kepada pelajar yang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mudir Smart Tahfiz Riyadh Restu, Arif Alauddin Zakaria, 29, berkata misi utama pusat pengajian berkenaan ialah memastikan keseimbangan ilmu akademik dan agama dalam kalangan pelajar tahfiz al-Quran.

"Asas al-Quran sememangnya perlu diberi keutamaan, bagaimanapun ilmu akademik hendaklah berjalan seiring kerana tanpa sijil SPM, mustahil pelajar dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti diploma dan ijazah.

Pembelajaran pantas

"Kami ingin pelajar tahfiz berjaya dalam pelbagai bidang, tidak hanya dalam ilmu agama, bahkan dapat membina kerjaya dengan kelulusan yang ada," katanya.

Memasuki tahun kedua penubuhannya, Smart Tahfiz Riyadh Restu kini mempunyai 74 pelajar, 54 daripadanya lelaki dan 20 penuntut perempuan.

Syarat kelayakannya juga tidak begitu ketat antaranya pelajar mestilah berumur 17 tahun ke atas, mempunyai asas membaca, menulis dan mengira dengan baik serta sudah menghafal sekurang-kurangnya 10 juzuk al-Quran.

Masa pengajian bidang akademik bermula seawal jam 8 pagi dan tamat pada 4.30 petang setiap Isnin hingga Jumaat sementara kelas tambahan diadakan pada hari Sabtu.

Menurut Arif Alauddin, setakat ini dua kelas pengajian dibuka dengan pendekatan pembelajaran pantas menerusi mekanisme latihan intensif terutama menjawab soalan ramalan dan kertas SPM tahun terdahulu.

Guru yang mengajar kebanyakannya berpengalaman seperti pengetua yang sudah bersara dan penyemak kertas SPM.

Masa depan cerah

Jadual pelajar agak ketat kerana mereka terpaksa bertungkus lumus untuk menghabiskan silibus SPM dalam masa setahun berbeza dengan pelajar di sekolah biasa yang mempunyai dua tahun bagi mengulang kaji.

Walaupun penekanan Smart Tahfiz Riyadh Restu lebih menjurus kepada pendidikan akademik, namun pengajian agama tidak sesekali diabaikan.

"Pelajar mengikuti pendidikan agama setiap hari bermula selepas Maghrib hingga jam 10 malam untuk menghafal al-Quran, pengajian tajwid, feqah dan hadis. Menghafal al-Quran sebenarnya turut membantu pelajar lebih cepat menyerap pelajaran akademik," katanya.

Masa depan pelajar di tahfiz berkenaan juga lebih cerah kerana Kolej Restu menyediakan ruang menyambung pengajian ke peringkat diploma dan ijazah, manakala Yayasan Restu pula menyediakan peluang pekerjaan.

Lahir pelajar berkualiti

Kejayaan 95 peratus kumpulan pelajar perintis Smart Tahfiz yang lulus peperiksaan SPM tahun lalu menjadi kayu ukur untuk mengembangkan pusat pengajian berkenaan.

Mengakui permintaan ibu bapa untuk menghantar anak ke pusat tahfiz berkenaan begitu menggalakkan, tetapi jumlah kemasukan terpaksa dihadkan kerana keutamaan adalah melahirkan pelajar berkualiti dalam aspek akademik dan agama.

Yuran bulanan Smart Tahfiz serendah RM400 merangkumi pengajian, asrama, makan minum dan kemudahan asas lain dengan bantuan khas turut diberikan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan menjadikannya pusat pengajian pilihan ramai.

Bagi pelajar yang tidak lulus, diberi kelonggaran untuk menyambung semula pengajian atau mengambil sijil tahfiz di pusat tahfiz dicadangkan. Smart Tahfiz turut menyediakan riadah seperti sukan berkuda untuk mendekatkan pelajar dengan aktiviti sunah.

126 dibaca
Berita Harian X