Ahad, 18 Disember 2016 | 12:11am

Tapak pelupusan tidak patuhi syarat punca pencemaran laut

NIBONG TEBAL: Kedudukan tapak pelupusan sampah Pulau Burung yang kurang 200 meter daripada laut, dipercayai menjadi punca kawasan terbabit mencetuskan pencemaran terhadap perairan dan sekitarnya.

Ketua Unit Nelayan Changkat, Rahman Ibrahim, mendakwa setiap kali hujan lebat, air kotoran sampah yang tidak diproses, dialir terus ke laut, bagi mengelak benteng di situ pecah jika berlaku limpahan.

"Jarak tapak pelupusan dengan perairan Pulau Burung tidak sampai 200 meter.

"Jika hujan lebat, kontraktor terpaksa melepaskan lebihan air yang tidak diproses itu terus ke laut," katanya ketika ditemui, semalam.

Mengulas situasi itu, Ketua Kluster Pengurusan Sisa Pepejal Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr  Hamidi Abdul Aziz, berkata jarak minimum tapak pelupusan sampah dengan penempatan dan laut atau sungai, mestilah sekurang-kurangnya 500 meter.

"Jarak minimum 500 meter itu perlu dipatuhi, jika ingin membina tapak pelupusan sampah. Sekiranya tidak dipatuhi, pencemaran air larut lesapan ke laut boleh menyebabkan pencemaran kepada ekosistem marin.


KETUA Unit Nelayan Changkat, Rahman Ibrahim menunjukkan keadaan sungai yang tercemar ketika ditemui di Jeti Nelayan Sungai Tengah Changkat. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

"Jika pencemaran berlaku terhadap rantaian makanan melalui ikan, kerang dan hidupan laut, ia akan membawa mudarat kepada kesihatan manusia," katanya kepada BH di sini.

Beliau mengulas pendedahan BH semalam, mengenai pencemaran berpunca daripada tapak pelupusan sampah Pulau Burung, yang bukan setakat menimbulkan bau busuk kepada penduduk sekitar, tetapi lecet mengubah kualiti air perairan itu hingga hidupan laut turut pupus.

Hamidi berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan perlu memantau semua tapak pelupusan sampah yang beroperasi berdekatan dengan sungai, laut dan penempatan penduduk.

Katanya, kontraktor yang dilantik menguruskan sisa pepejal juga perlu dipantau bagi memastikan mereka tidak melepaskan air kurasan (air sampah) ke saliran sungai atau laut tanpa dirawat terlebih dahulu.

Beliau berkata, perlu ada penyelesaian jangka panjang untuk memastikan air larut lesapan (lecet) yang dilepaskan, dirawat sepenuhnya supaya tidak membahayakan kawasan sekitar.


AZIWAN mengambil contoh air lecet dari tapak pembuangan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal, yang mengalir memasuki kawasan paya bakau dan laut. - Foto Danial Saad

"Inilah yang akan terjadi jika tempat pelupusan sampah terlalu hampir dengan laut dan penempatan manusia. Jika tidak dioperasikan dengan betul dan sempurna, risiko pencemaran memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan kehidupan akan terus berlaku.

"Semua tapak pelupusan perlu memastikan lecet ini dirawat terlebih dahulu dan sistem pelupusan secara kambus tanah (landfill) boleh menjadi alternatif. Kaedah ini disifatkan lebih bersih dan selamat sekiranya dikendalikan secara sistematik," katanya.

Beliau mengakui, Pulau Pinang antara negeri berdepan tapak pelupusan sampah yang agak terhad dan terpaksa menggunakan kawasan sedia ada sebagai lokasi pembuangan sisa domestik dan sisa pepejal.

"Bagaimanapun tiada sebarang alasan boleh diterima, jika operator tapak pelupusan sampah mengabaikan aspek alam sekitar. Mereka perlu bertanggungjawab sekiranya terbukti pencemaran berlaku disebabkan kelalaian.

"Apa yang penting, pihak berwajib perlu memastikan kontraktor dilantik mematuhi piawaian ditetapkan dan jika melanggar syarat, hendaklah diambil tindakan dan dibawa ke muka pengadilan.

"Negara mempunyai undang-undang yang cukup untuk mendakwa pesalah yang terbabit dalam jenayah alam sekitar. Kita perlu ingat kesan negatif dalam jangka masa panjang akan dirasai penduduk, hidupan marin dan tumbuhan di paya bakau itu sendiri," katanya.

INFO:

# 200 meter jarak tapak pelupusan Pulau Burung dengan laut.

# 500 meter sepatutnya jarak minimum tapak pelupusan dengan sungai, laut atau penempatan

# 62 hektar tapak pelupusan sampah Pulau Burung

# 1,300 tan sisa sampah domestik Pulau Pinang dilupuskan setiap hari

AZIWAN menunjukkan pokok bakau yang menjadi zon pemampan daripada hakisan ombak menjadi kering disebabkan air laut bercampur air lecet dari tapak pembuangan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal, yang mengalir memasuki kawasan paya bakau dan laut. - Foto Danial Saad
AZIWAN mengambil contoh air lecet dari tapak pembuangan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal, yang mengalir memasuki kawasan paya bakau dan laut. - Foto Danial Saad
AZIWAN menunjukkan air laut yang bercampur dengan air lecet (kiri) berbanding air laut yang tidak bercampur ketika tinjauan di tapak pembuangan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal. - Foto Danial Saad
AZIWAN merakamkan gambar timbunan sampah di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal Byram ketika tinjauan tapak pembuangan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal. - Foto Danial Saad
AZIWAN mengambil contoh air lecet dari tapak pembuangan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal, yang mengalir memasuki kawasan paya bakau dan laut. - Foto Danial Saad
AZIWAN menunjukkan kawasan air lecet yang disalurkan terus ke kawasan pokok kayu bakau. - Foto Muhammad Suhaib Mohd Shapiee
KETUA Kluster Pengurusan Sisa Pepejal Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr  Hamidi Abdul Aziz. - Foto Muhammad Suhaib Mohd Shapiee
Berita Harian X