Ahad, 18 Disember 2016 | 12:02am

Monyet kacak menanti teman di Sandakan


LABUK Bay adalah destinasi kedua paling kerap dikunjungi pelancong ke daerah Sandakan selepas Pusat Perlindungan Orang Utan Sepilok.

DAERAH kedua terbesar di Sabah, Sandakan menawarkan pelbagai lokasi tarikan pelancong khususnya hidupan liar dan alam semula jadi.

Selain Pusat Perlindungan Orang Utan Sepilok yang menyediakan pengalaman menarik untuk melihat lebih dekat Orang Utan, pengunjung ke Sandakan juga berpeluang bertemu dengan monyet eksotik berhidung besar iaitu monyet Proboscis.

Monyet Proboscis atau dipanggil monyet bangkatan oleh penduduk tempatan memiliki hidung mancung, berbulu cerah, perut besar dan berekor panjang serta dikatakan sebagai monyet paling kacak dalam spesiesnya dan hanya boleh didapati di kepulauan Borneo.

Seronok melihat pelbagai gelagat

Bagi mereka yang mahu 'bersemuka' dengan monyet Proboscis, bolehlah berkunjung ke Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary (Labuk Bay) yang menjanjikan pengalaman unik.

Baru-baru ini, ketika kunjungan ke Sandakan, penulis sempat pergi ke Labuk Bay melihat puluhan monyet berkenaan yang hidup liar di hutan paya bakau dengan gelagat tersendiri yang begitu jinak bermain dengan pengunjung.


LABUK Bay menjanjikan pengalaman unik.

Uniknya, puluhan monyet itu seakan-akan faham sudah tiba waktu makan apabila secara perlahan-lahan ia keluar dari habitat untuk menikmati makanan yang disediakan tanpa perlu dipanggil atau membunyikan isyarat tertentu.

Berpuluh-puluh monyet Proboscis terbabit memenuhi dua pelantar tinjau yang dipanggil platform A dan B apabila tiba waktu makan iaitu pada jam 10 pagi dan 2 petang.

Ketika inilah, pengunjung berpeluang melihat pelbagai gelagat monyet dari pelantar pemandangan.

Ada yang asyik makan, ada ibu monyet menyusukan anak di atas pokok dan paling menarik monyet jantan datang lebih dekat kepada pengunjung dan hanya berdiam diri, seolah-olah memberi isyarat supaya merakamkan gambar.

Dibiarkan hidup liar

Sifat jinak monyet berkenaan menyebabkan pengunjung tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar 'selfie' bersama haiwan liar terbabit monyet yang hanya boleh didapati di kepulauan Borneo, khususnya Sandakan.


MONYET Proboscis atau dipanggil monyet bangkatan oleh penduduk tempatan.

Kunjungan penulis ke Labuk Bay pada hari biasa memberi peluang untuk merakamkan gambar sepuasnya kerana tidak ramai pengunjung pada hari berkenaan, kecuali beberapa pelancong luar negara yang datang khas untuk melihat spesies itu secara lebih dekat.

Labuk Bay, terletak 38 kilometer dari bandar Sandakan adalah satu-satunya pusat sanctuary monyet Proboscis liar yang hanya ada di Borneo.

Walaupun begitu jinak bermain dengan pengunjung seolah-olah ia haiwan peliharaan, sebenarnya monyet terbabit hidup liar di kawasan berhampiran dan hanya datang ke pelantar apabila tiba waktu makan.

Antara destinasi kerap dikunjungi

Labuk Bay yang terletak di kawasan berkeluasan 160 hektar, diwujudkan sebagai 'rumah' monyet Proboscis pada tahun 1994 apabila kawasan milik persendirian ini yang pada asalnya dibeli untuk tujuan komersial, dibiarkan tidak diusik apabila pemiliknya melihat banyak haiwan liar itu di lokasi berkenaan.

Selain hutan paya bakau miliknya itu menjadi rumah dan sumber makanan monyet terbabit, pemiliknya mula memberi makanan tambahan buah-buahan di dua pelantar tinjau dan hanya selepas 10 tahun barulah dibuka untuk menerima kunjungan pelawat.

Kini Labuk Bay adalah destinasi kedua paling kerap dikunjungi pelancong ke daerah Sandakan selepas Pusat Perlindungan Orang Utan Sepilok.


MONYET dengan gelagat tersendiri yang jinak bermain dengan pengunjung di Labuk Bay.

Selain monyet bangkatan beberapa spesis monyet lain dan burung enggang juga kerap berkunjung ke pelantar tinjau Labuk Bay.

Penulis sempat berbual dengan pelancong Taiwan, Sylvia Chang, 25, yang teruja bergambar swafoto (selfie) dengan monyet Proboscis.

Dia memberitahu tujuan asalnya ke ke Sabah hanya untuk mendaki Gunung Kinabalu dan selepas beberapa hari di bandar raya Kota Kinabalu, mengambil keputusan meneruskan percutian ke Sandakan apabila mendapat tahu daerah berkenaan kaya dengan alam semula jadi serta hidupan liar.

INFO: Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary

  • Terletak 38 kilometer dari Sandakan
  • Bayaran masuk RM10 dengan caj tambahan untuk kamera RM15
  • Puluhan monyet Proboscis memenuhi dua pelantar tinjau pada waktu makan iaitu jam 10 pagi dan 2 petang.
Berita Harian X