Sabtu, 17 Disember 2016 | 9:06pm

Skuad MU atasi FELCRA FC

PEMAIN Melaka United, R Surenden (kiri) cuba melepasi pertahanan pemain FELCRA FC pada aksi persahabatan pra musim di Stadium Hang Tuah, petang tadi. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

MELAKA: Skuad Melaka United (MU) berjaya menewaskan FELCRA FC 2-0 pada aksi persahabatan pra musim di Stadium Hang Tuah petang tadi.

Gol kemenangan tuan rumah dijaringkan Mohd Aliff Samsudin dan Nurshamil Abd Ghani pada babak kedua perlawanan selepas kedudukan terikat tanpa jaringan di 45 minit pertama perlawanan.

Jurulatih MU, Eric Williams, berkata persembahan pasukan masih dalam penyesuaian dalam semua aspek terutama menerusi rangkaian gerakan menyerang dan bertahan.

Menurutnya, dia menurunkan hampir semua pemain kecuali yang mengalami kecederaan termasuk Ahmad Khuzaimi Piee ketika menyertai skuad kebangsaan sebelum ini selain import Argentina, Sergio Aguero yang cedera ketika latihan dan Omid Nazari (Sweden) yang demam.

Katanya, kemenangan 2-0 tetap melegakan berikutan lawan sudah memiliki pemain yang serasi selain mereka giat berusaha untuk mengejutkan tuan rumah, namun kesungguhan pemain tetap membanggakan berikutan tidak melepaskan sebarang jaringan kepada pelawat.

"Namun saya agak kecewa terdapat pemain yang masih belum mendapat sentuhan sebenar termasuk ada yang dilihat beraksi di luar kemampuan sebenar yang perlu diberi perhatian.

"Apapun barisan ini masih baharu dan ia dijangka bakal meningkat termasuk Amri Yahyah Selasa depan untuk bersama skuad terbabit," katanya.

Turut beraksi pada perlawanan pra musim terbabit termasuk penjaring terbanyak Liga Perdana musim ini Ilja Spasojevic, Fauzi Roslan, Khair Muhammad Jefri Jones, Faizal Muhammad dan R Surendran.

Berita Harian X