Sabtu, 17 Disember 2016 | 12:22am

Maybank Samsung Pay dijangka tingkatkan pengguna dompet digital

KUALA LUMPUR: Maybank menjangka Maybank Samsung Pay yang baru dilancarkan di Malaysia akan meningkatkan bilangan pelanggan menggunakan kaedah bayaran tanpa sentuh dalam kalangan pemegang kadnya sekurang-kurang 100 peratus menjelang akhir 2017.

Ini susulan kejayaan pelancaran Maybank Pay pada Julai, yang hingga kini telah menarik hampir 40,000 pengguna dompet digital.

Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Maybank, Michael Foong, berkata Maybank Pay bertujuan membolehkan pelanggan membuat pembayaran tanpa tunai dicaj kepada kad Visa mereka melalui telefon pintar Android dan peranti mudah alih yang lain, tanpa menggunakan kad debit atau kredit secara fizikal.

"Maybank yakin lebih ramai pemegang kad akan mengguna kemudahan itu yang mana adalah perkhidmatan pembayaran mudah alih tanpa sentuh yang diterima paling meluas," kata Maybank dalam satu kenyataan hari ini.

Foong berkata, melalui perkhidmatan itu, pelanggan boleh membuat pembelian hampir di mana sahaja lokasi yang menerima kad debit, kredit dan prabayar, termasuk pelbagai lokasi di luar negara.

Inovasi berterusan yang dihasilkan oleh bank itu khususnya dalam bidang dompet digital membolehkan pelanggan mendapat manfaat daripada kaedah pembayaran yang selamat ini, sekali gus mempertingkat gaya hidup mereka, katanya. - BERNAMA

Berita Harian X