Jumaat, 16 Disember 2016 | 11:42pm

Surendran gembira kedatangan Wak Am ke MU

PENYERANG Melaka United (MU) R Surendran. - Foto Rasul Azli Samad

MELAKA: Penyerang Melaka United (MU) R Surendran yakin kehadiran kapten kebangsaan Mohd Amri Yahyah mampu mempertajamkan barisan depan skuad berkenaan bagi saingan Liga Malaysia 2017.

Bekas bintang bola sepak Pahang itu berkata, pengalaman Amri (Wak Am) amat penting membantu skuad MU beraksi lebih gah tambahan MU bakal bertarung di pentas Liga Super yang amat mencabar.

Katanya, barisan rakan sepasukan dan peminat menyambut baik kehadiran Wak Am sebagai antara peledak berbisa buat negara di pentas antarabangsa untuk diterjemahkan pengalaman dan sentuhannya bersama skuad Hang Tuah pula.

Beliau berkata, walaupun tidak pernah beraksi bersama Amri berikutan berbeza pasukan, namun ia bukan halangan membentuk persefahaman jitu dengan pemain itu serta rakan sepasukan.

"Kini MU giat menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih Eric Williams dengan perlawanan persahabatan pertama bakal berdepan FELCRA FC di Stadium Hang Tuah petang  esok.

"Kami akan beraksi sebaik mungkin pada pertemuan terbabit dalam usaha memahami corak permainan masing- masing serta membentuk gerakan berkualiti ketika menyerang dan bertahan," katanya.

Surendran antara penyerang terbaik buat MU ketika saingan Liga Perdana musim ini dengan meledak enam gol sepanjang saingan sekali gus membantu pasukan terbabit menjulang Liga Perdana dan layak ke pentas Liga Super musim depan.

Larian pantas dengan gerakan mengelirukan nyata aset buatnya dan MU malah turut membantu import Montenegro, Ilja Spasojevic muncul penjaring terbanyak Liga Perdana dengan 23 jaringan.

Berita Harian X