Jumaat, 16 Disember 2016 | 3:10pm

3 ditahan kes bunuh warga Bangladesh

SHAH ALAM: Tiga lelaki warga Indonesia ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes bunuh membabitkan seorang lelaki warga Bangladesh, Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata semua suspek berumur 18 hingga 25 tahun itu ditahan pada 13 Disember lalu, dalam serbuan di sebuah restoran di Bandar Putera dan dua rumah kongsi di tapak pembinaan Mukim Tanjung Dua Belas, Kuala Langat.

"Pada 19 Oktober lalu, seorang lelaki berusia 25 tahun ditemui mati oleh orang awam di tepi jalan di Jalan Kebun, Seksyen 30, Shah Alam dengan kesan kelar di leher dan perut.

"Mangsa dikesan mengalami kecederaan di kepala dipercayai dipukul dengan senjata tumpul seperti batu, selain beberapa kesan tetakan di kaki dan tangan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2016 di sini, hari ini.

Shafien berkata, siasatan awal mendapati mangsa dibunuh kerana dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan isteri seorang daripada suspek terbabit.

"Semua suspek direman sehingga 20 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X