Jumaat, 16 Disember 2016 | 12:13am

Senaman, diet sihat turun 62kg dalam dua tahun

KLANG: Serik dengan kesan produk pelangsingan yang membuatkan berat badannya meningkat sehingga 120 kilogram (kg), mendorong seorang eksekutif wanita dari Pelabuhan Klang di sini, beralih kepada senaman dan diet sihat, bagi mencapai impiannya.

Kegigihan Natrah Amalluddin, 34, yang mempunyai ketinggian 1.56 meter, bersenam sambil mengamalkan pemakanan sihat, membolehkan beliau memperoleh berat badan yang ideal iaitu 58kg, dalam tempoh dua tahun.

Natrah berkata, ketika belajar dalam bidang kejuruteraan mekanikal di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), berat badannya hanya sekitar 70kg, yang disifatkan masih normal, tetapi rakan-rakan melihat beliau semakin gemuk.

"Teguran rakan-rakan mendorong saya mengambil produk pelangsingan yang berjaya mengurangkan menurunkan berat dalam tempoh dua minggu tetapi kos produk yang mahal ketika itu, menyebabkan saya tidak mampu bertahan lama.

 

"Selepas berhenti mengambil produk itu, saya sukar mengawal selera makan sehingga berat badan naik mendadak, walaupun makan dalam kuantiti kecil. Berat badan yang terus naik, membuatkan saya tidak lagi peduli dan makan apa saja yang diinginkan," katanya.

Natrah berkata, apabila berat badannya mencapai 120kg, dia berdepan pelbagai masalah termasuk tidak dapat menjalani kehidupan aktif serta bersosial dengan rakan, hingga hilang keyakinan diri ekoran cemuhan dan pandangan negatif masyarakat.


NATRAH bersyukur dan bangga kerana akhirnya berjaya mencapai berat ideal iaitu 58 kilogram pada November lalu. - Foto Shazreen Zamzuri

NATRAH ketika berat badannya mencapai 120 kilogram (kg).

Anak bongsu daripada sembilan beradik itu, berkata kegemukan menyebabkan beliau sukar membeli pakaian siap yang sesuai dalam pasaran kerana masalah saiz, hingga perlu berbelanja lebih, membeli kain dan mengupah tukang jahit.

Katanya, dalam usaha mencari penyelesaian masalah kegemukan yang dihadapinya, beliau menyertai program Jom Kurus 1Malaysia (JK1M) kendalian jurulatih kecergasan terkenal, Kevin Zahri.

"Pada mulanya, saya agak ragu-ragu menyertai program terbabit kerana tidak yakin mampu kembali kurus. Saya bersyukur kerana berjaya membuang rasa ragu-ragu itu ketika menyertai program terbabit mulai Januari 2015.

 

"Menerusi program itu, saya belajar merancang pelan hidangan harian dan senaman yang sesuai untuk menurunkan berat badan secara sihat," katanya yang mengamalkan pendekatan 80 peratus diet dan 20 peratus bersenam bagi menurunkan berat badan.

 

Natrah berkata, JK1M berlangsung selama enam minggu bagi satu musim dan beliau menyertainya daripada musim ke empat hingga ke tujuh sebelum berjaya menurunkan berat badan sebanyak 62 kilogram.

 

"Pada minggu pertama penyertaan, saya berjaya menurunkan berat sebanyak enam kilogram dengan hanya mengikuti pelan hidangan disediakan.

"Saya sangat teruja ketika itu dan pencapaian terbabit menjadi pembakar semangat meneruskan program berkenaan kerana hasil positif yang badan saya rasakan sepanjang program itu," katanya. 

Beliau berkata, sama seperti ketika dia gemuk, sepanjang usahanya menguruskan badan, ada dalam kalangan rakan-rakannya turut mengusik dengan pelbagai kata-kata sinis.


NATRAH Amalluddin berjaya menurunkan berat badan daripada 120 kepada 58 kilogram (kg) dalam tempoh dua tahun.

SENAMAN kardio adalah antara cara Natrah mengekalkan kecergasan

"Mereka pelik melihat saya gigih berdiet dan mengamalkan hidup yang sihat. Bagaimanapun, saya menerima usikan mereka dan terus berusaha sehingga saya mendapat berat yang ideal seperti sekarang," katanya yang menjadikan aktiviti senaman kardio dan pemberat sebagai rutin.

 

Natrah yang kini aktif bersenam satu hingga dua jam sehari, menjadikan senaman kardio dan pemberat sebagai rutin, selain sering terbabit dalam pelbagai acara sukan dan riadah.

Katanya, selepas dua tahun berusaha, beliau bersyukur dan bangga kerana akhirnya berjaya mencapai berat ideal iaitu 58 kilogram pada November lalu. 

"Saya gembira menikmati kehidupan sihat seperti sekarang dan berbesar hati membimbing rakan-rakan yang berdepan masalah berat badan seperti saya dahulu," katanya yang dilantik menjadi ketua kumpulan bahagian Klang untuk siri JK1M musim ke lapan yang bermula Januari ini.


NATRAH ketika berat badannya mencapai 120 kilogram (kg).

INFO:

  • Berat naik mendadak sejak usia 21 tahun
  •  

  • Tips diet Natrah sepanjang tempoh dua tahun: 
  •  

  • Makan tepat pada waktunya
  •  

  • Minum air putih 4 liter sehari
  •  

  • Makan 6 kali sehari
  •  

  • Menu dan jadual pemakanan
  •  

  • 7 pagi - sarapan telur rebus/air lemon panas
  •  

  • 10 pagi- makan limau gedang
  •  

  • 1 tgh - nasi putih, ayam/ikan bakar & sayur 
  •  

  • 3 ptg - epal hijau
  •  

  • 6 ptg - ikan/ayam stim
  •  

  • 10 mlm - epal/buah buahan.
  •  

  • Menu boleh dipelbagaikan tetapi kuantiti dikawal
  •  

  • Elak dan kurangkan pengambilan gula dan garam
  •  

tamat.

1153 dibaca
KESEDARAN Natrah untuk menurunkan berat badan muncul selepas terpaksa menghadapi cacian serta pandangan negatif masyarakat sekelilingnya selain pergerakannya terbatas ekoran badan yang gempal. - Foto Shazreen Zamzuri
NATRAH menunjukkan pakaiannya ketika berat mencecah 120kg. - Foto Shzreen Zamzuri
NATRAH menunjukkan pakaiannya ketika berat mencecah 120kg. - Foto Shzreen Zamzuri
MENDAKI bukit adalah sebahagian daripada cara mengekalkan kecergasan dan mengawal berat badan
BERAT badan yang ideal, membolehkan Natrah aktif dalam pelbagai jenis sukan
Berita Harian X