Jumaat, 16 Disember 2016 | 12:02am

Tingkah laku ekstrem petunjuk masalah


ADA banyak faktor yang boleh menyebabkan kanak-kanak bersifat ekstrem.

SOALAN: Anak berusia setahun yang dihantar ibu bapanya ke pusat jagaan saya sering menunjukkan tingkah laku ekstrem. Apabila nampak anak kucing, dia akan memijak atau mencampaknya. Dia juga suka membaling barang dan mengoyak buku. Apakah yang perlu saya lakukan?

Marina Abdullah

Kota Damansara, Kuala Lumpur

Sesuatu tingkah laku bermasalah, umumnya masih lagi dianggap normal dan tidak wajar dianggap ekstrem sekiranya si kecil melakukannya sesekali dan tidak secara kerap.

Contohnya, jika si kecil berusia tiga tahun menghisap jarinya setiap kali berasa takut atau tidak selesa, itu adalah normal.

Tetapi jika si kecil menghisap jarinya sepanjang masa, tingkah laku itu boleh dianggap sebagai ekstrem.

Banyak faktor menjadi penyebab kenapa si kecil berkelakuan demikian. Apabila punca permasalahan tingkah laku dikenalpasti dan dianalisa barulah jalan penyelesaian dapat dicari dan ditentukan.

Salah satu faktor utama tingkah laku ekstrem ialah dari aspek fisiologi. Pemakanan kanak-kanak boleh memberi kesan kepada tingkah lakunya. Jika kurang kandungan vitamin B dalam badan, ia boleh menyebabkan kanak-kanak itu sukar untuk memberi tumpuan dan kurang komited dalam melaksanakan sesuatu tugasan yang diberi.

Tingkah laku ekstrem juga ada kaitannya dengan masalah berkaitan saraf otak, namun hanya pakar perubatan kanak-kanak yang dapat mengesahkannya.

Biasanya akan dikaitkan dengan istilah sindrom dan ketidakupayaan, sekali gus luar keupayaan kanak-kanak untuk mengawalnya.

Terganggu perasaan

Perasaan takut keterlaluan kepada seseorang, sesuatu benda atau tempat dan keadaan juga turut menjadi faktor utama kenapa kanak-kanak bertindak menunjukkan tingkah laku ekstrem.

Ini boleh berlaku jika kanak-kanak terganggu perasaannya kerana sering diugut, ditakut-takutkan atau pernah didera secara fizikal, mental ataupun emosi.

Perasaan takut sukar dibendung dan cuba dialihkan perhatian melalui tingkah laku ekstrem dibimbangi boleh membawa kepada peringkat anxiety disorder, iaitu satu perasaan takut dan bimbang dialami secara berterusan; mengancam kehidupan seharian sehingga mencetuskan tindakan tingkah laku 'maladaptif' luar kawalan.

Sebagai langkah pencegahan dan kawalan, pengasuh atau ibu bapa seharusnya menunjukkan sikap empati terhadap apa yang dialaminya serta memberikan sokongan moral secara berterusan.

Lama-kelamaan tingkah laku ekstrem ditunjukkan (jika bukan masalah kesihatan mental) akan semakin berkurangan dan kanak-kanak akan dapat mengawalnya dengan bimbingan daan kasih sayang yang ditonjolkan terhadapnya.

* Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling UIA

Berita Harian X