Khamis, 15 Disember 2016 | 1:43pm

Istiadat menghadap Undang Luak Johol di Istana Seri Menanti

KUALA PILAH: Istana Besar Seri Menanti hari ini menyaksikan berlangsungnya Istiadat Menghadap Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Muhammad Abdullah ke bawah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi menyempurnakan pelantikan sebagai Undang Luak Johol.

Muhammad telah dimasyhurkan sebagai Undang Luak Johol yang ke-15 menggantikan Datuk Mohd Jan Abdul Ghani yang dilucutkan jawatan pada 27 Mac lepas kerana didakwa melakukan 13 kesalahan salah laku dan adat.

Pelantikan Muhammad sebagai Undang Luak Johol yang baharu telah disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 7 Oktober lalu.


UNDANG Luak Johol Yang Ke-15, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Muhammad Abdullah ketika perarakan rombongan ke Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Johol Ke-15 di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau sebelum ini memegang jawatan Baginda Tan Mas (Timbalan Undang Luak Johol) sejak 13 Julai 2007.

Turut berkenan menyaksikan Istiadat Menghadap itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan Putera Yang Empat iaitu Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar Tunku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin serta barisan exco kerajaan negeri.

Terdahulu, pada istiadat itu, Muhammad dan isteri Tok Puan Faridah Hanom Jaafar diarak dengan diiringi kira-kira 300 anggota rombongan Undang Luak Johol ke Istana Besar Seri Menanti dengan paluan rebana.

Pada istiadat itu, Muhammad melafazkan sembah taat setia kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, diikuti titah ucapan Tuanku Muhriz dan disusuli tembakan tiga das meriam.

Sesudah titah ucapan baginda, hadirin mengaminkan bacaan doa oleh Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Nor Azamir Alias dan disusuli dengan lagu kebesaran Negeri Sembilan.

Istiadat diakhiri dengan majlis santapan tengah hari di Dewan Bankuet, Balairong Seri.

Muhammad, 50, adalah anak bongsu daripada enam adik beradik lahir pada 2 Januari 1966 di Kampung Tanggai, Johol daripada keluarga suku Biduanda Waris (Perut Baruh, Johol) iaitu suku daripada nasab ibunya Allahyarhamah Ajal Katik, yang layak mewarisi pusaka nenek Sitiawan, yang mengasaskan institusi Undang Luak Johol pada tahun 1723.

Ayahanda beliau Allahyarham Abdullah Che Mat adalah pesara Jabatan Kerja Raya.

Muhammad yang dikurniakan lima orang anak hasil perkahwinannya, menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Tunku Besar Tampin dan kemudian terpilih memasuki Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sehingga tamat pengajian tingkatan enam dalam jurusan sastera pada 1979.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor pada 1986 dan menerima Diploma in Business (Insurance Business Management) pada 1990.

Beliau pernah menjadi guru sandaran mengajar Bahasa Inggeris dan Pendidikan Jasmani di tiga buah sekolah di negeri ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Undang Abdul Manap, Johol, SMK Palong 4 dan Sekolah Menengah Teriang Hilir, Jelebu.

Muhammad kemudian meninggalkan profesion perguruan dan menjadi pegawai insurans dengan syarikat Takaful, Bank Islam Malaysia Berhad.

Tidak lama selepas itu, beliau menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan menjadi pengarah serta pengerusi kepada beberapa syarikat.

Undang Luak Johol itu juga merupakan seorang aktivis masyarakat yang aktif melakukan kerja amal termasuk menjadi pengerusi Kebajikan Dato'-Dato' Adat Johol, pengerusi Tahfiz Masjid Tanggai, naib pengerusi Persatuan Anti-Dadah Kebangsaan Negeri Sembilan, penaung Pertubuhan Rakan Pembimbing dan Motivasi Al Ghoniah (pusat tahfiz), penaung Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Suku Mungkal Johol Negeri Sembilan (Mungkajoho) dan penaung Yayasan Pembangunan Masyarakat Malaysia (YPMM).

Dalam struktur pemerintahan beraja di Negeri Sembilan, institusi Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin mempunyai fungsi kuasa secara mutlak di luak masing-masing.

Undang Yang Empat adalah bertanggungjawab melantik Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan bagi menaiki takhta menggantikan baginda Yang Dipertuan Besar yang mangkat.

Fungsi berkenaan diperjelaskan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan iaitu Undang Yang Empat (Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol dan Undang Luak Rembau serta Tunku Besar Tampin) adalah pemerintah bagi Negeri Sembilan bersama Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. - BERNAMA

YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menerima mengadap Undang Luak Johol Yang Ke-15, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Muhammad Abdullah bagi menyempurnakan pelantikan sebagai Undang Luak Johol di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman
Berita Harian X