Rabu, 14 Disember 2016 | 9:17pm
PENGERUSI Biro Kebajikan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah menyerahkan beras kepada wakil penduduk Kampung Trienggadeng , Zulkifli Bashah (empat dari kanan) sebagai bantuan kepada mangsa gempa bumi di Kampung Trienggadeng di Pidie Jaya, Aceh. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Gempa Aceh: Misi BUKM 'tergendala' lebih dua jam


30 sukarelawan program misi bantuan bencana gempa bumi Aceh Biro Kebajikan UMNO dan 8 sukarelawan Mercy yang di ketuai oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda, Aceh disebabkan tiada surat kebanaran masuk dari pihak Kedutaan Indonesia untuk menyalurkan bantuan kepada bencana. - Foto Mohd Yusni Ariffin

ACEH, Indonesia: Sebaik saja menjejakkan kaki ke negara ini, sukarelawan misi bantuan bencana mangsa gempa bumi Biro Kebajikan UMNO (BKUM) sudah menghadapi cabaran apabila terkandas lebih dua jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda di sini.

Misi diketuai Pengerusi BKUM, Datuk Shamsul Anuar Nasarah tidak dibenarkan melepasi pemeriksaan Imigresen sebaik saja tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang pada jam 9.45 pagi waktu tempatan.

Kumpulan seramai 30 sukarelawan, termasuk tujuh media Malaysia ditahan kerana didakwa tidak memiliki dokumen kebenaran daripada kerajaan negara itu.

Ketika menunggu isu itu diselesaikan, kami mendapati lima daripada tujuh individu wakil Mercy Malaysia turut menerima nasib sama apabila terkandas sejak jam 8 pagi sebaik saja tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Selepas wakil konsulat Malaysia di Medan berbincang dengan pihak berkuasa Indonesia, sukarelawan BKUM akhirnya dibenarkan masuk ke negara itu kira-kira jam 12 tengah hari.

Kumpulan itu terus menuju ke Pidie Jaya, bandar yang dilanda gempa bumi 6.5 magnitud pada 7 Disember lalu yang mengorbankan 102 nyawa, dan tiba di Kampung Trienggadeng sekitar jam 6 petang.

Mengulas mengenai situasi itu, Shamsul Anuar berkata, ia adalah perkara biasa dan pihaknya serta pihak berkuasa Indonesia memberikan kerjasama baik bagi memastikan misi kemanusiaan itu berjalan lancar.

Katanya, BKUM hadir selama lima hari di Pidie Jaya bagi menghulurkan bantuan beras dan perubatan, termasuklah rawatan psikologi kepada penduduk yang trauma dengan gempa bumi itu.

"Kami menyediakan bantuan dengan membawa barangan perubatan bernilai RM250,000 di lima kawasan kampung yang terjejas di Pidie Jaya.

"Pakar perubatan yang kami bawa juga membantu daripada aspek psikologi kerana penduduk yang tinggal di khemah masih trauma dengan bencana ini ," katanya.

Berita Harian X