Rabu, 10 Disember 2014 | 1:01pm
Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM)

KAYM dalam peringkat akhir ambil alih hotel RM6 juta di Jonker Walk

MELAKA: Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) kini dalam peringkat akhir untuk mengambil alih sebuah hotel bernilai RM6 juta di Jonker Walk di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif KAYM, Datuk Saroni Judi, berkata proses pengambilalihan hotel 82 bilik di kawasan tumpuan pelancong itu dijangka dapatdimuktamadkan pada hujung bulan ini.

Beliau berkata, hotel itu akan memainkan peranan penting dalam proses pembelajaran pelbagai kursus yang ditawarkan oleh Sekolah Pengurusan Perhotelan dan Pelancongan (SHTM) kolej berkenaan.

"KAYM akan memastikan hotel ini terus beroperasi seperti hotel-hotel biasa lain di negeri ini bagi memberikan kemudahan pembelajaran terus secara amali kepada pelajar.

"Dengan adanya hotel ini juga, KAYM dapat memberikan pendedahan dunia perhotelan serta pelancongan secara terus setiap masa kepada pelajarnya, dan bukan hanya menunggu pendedahan ketika latihan praktikal semata-mata," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di sini. SHTM menawarkan pelbagai program dalam bidang perhotelan dan pelancongan seperti Diploma Seni Kulinari, Diploma Pengurusan Hotel, Diploma Pengurusan Pelancongan dan Sijil Pengurusan Hotel.

"SHTM menekankan pembelajaran dan pengajaran yang merangkumi aspek teori dan juga praktikal sejajar kepada keperluan industri yang mahukan lulusan berkualiti dan berkemahiran dalam industri berkenaan," kata Saroni.

Katanya, selain hotel berkenaan, KAYM sudah membelanjakan kira-kira RM1 juta bagi membina KAYM Kitchen di Asrama KAYM Bachang Permai di sini dalam usaha memberikan kemudahan lengkap untuk pembelajaran dalam jurusan itu.

Beliau berkata, KAYM Kitchen yang beroperasi pada April lalu,dilengkapi kemudahan seperti dapur, ketuhar serta peti sejuk bagi tujuan penyediaan makanan, membuat pastri atau kek.

"KAYM Kitchen disediakan lengkap bagi memberikan kemudahan untuk meningkatkan lagi mutu kemahiran memasak, membuat kek dan penyediaan makanansecara profesional," katanya.

SHTM pada masa ini mempunyai kira-kira 300 pelajar dan enam tenaga pengajar, manakala 17 pelajar sekolah itu bakal menghadiri majlis graduasi pada Konvokesyen KAYM Ke-12, Isnin ini.

"KAYM menyasarkan 400 pelajar tahun depan untuk memasuki pelbagai jurusan dalam bidang perhotelan dan pelancongan," kata Saroni.

KAYM yang ditubuhkan lebih 17 tahun lalu adalah sebuah institusi pengajian tinggi swasta di bawah Yayasan Melaka dan pada masa ini mempunyai kira-kira 3,500 pelajar dalam pelbagai jurusan.

- BERNAMA

Berita Harian X