Rabu, 14 Disember 2016 | 3:10pm

PKS diminta rebut dana RM6.7 bilion


DATUK Ahmad Maslan berucap pada majlis perasmian Program Outreach MITI dan Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu (MSPUT) di Dewan Konvensyen Pusat Dagangan Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Kerajaan menggesa usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputra di seluruh negara merebut peluang pembiayaan atau geran berjumlah RM6.7 bilion bagi memperbesarkan perniagaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan, berkata kerajaan menyediakan dana dalam membantu usahawan PKS khas untuk syarikat Bumiputra berjumlah RM1.52 bilion manakala bakinya RM5.18 bilion terbuka untuk Bumiputra dan bukan Bumiputra.

Katanya, antara dana disediakan adalah pembiayaan promosi pembangunan berjumlah RM75 juta, skim pinjaman modal kerja (RM200 juta) dan e-Dagang berjumlah RM167 juta.

"Setakat ini, ada kira-kira 645,000 PKS di seluruh negara menyumbangkan 36 peratus atau RM445 bilion pendapatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Outreach MITI dan Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu (MSPUT) di Dewan Konvensyen Pusat Dagangan Terengganu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud.

Ahmad berkata, kerajaan menyasarkan usahawan PKS menyumbang 40 peratus kepada KDNK menjelang tahun 2020.

Katanya, kerajaan akan terus membangunkan PKS dengan memperuntukkan RM7.33 bilion untuk membantu 152 syarikat melalui program pembangunan PKS.

Berita Harian X