Rabu, 14 Disember 2016 | 1:16pm

Pemain terbaik sepatutnya beraksi bersama - Ronaldo


GAMBAR fail Cristiano Ronaldo bersama Lionel Messi pada anugerah FIFA Ballon d'Or 2014. - Foto http://www.express.co.uk/

TOKYO: Bintang sensasi Real Madrid, Cristiano Ronaldo berkata, dia mungkin memenangi lebih banyak gelaran Ballon d'Or berbanding penyerang Barcelona, Lionel Messi sekiranya mereka rakan sepasukan.

Sambil memuji pencabar utamanya dari Argentina itu sebagai 'pemain yang hebat', Ronaldo merangkul gelaran keempat Ballon d'Or, semalam dan kini hanya kurang satu gelaran berbanding Messi yang sudah memiliki lima trofi sama.

Sejak 2010, hanya Ronaldo dan Messi pernah menjulang trofi terbabit namun bekas pemain Manchester United dari Portugal itu merasakan dia mampu mencatat rekod lebih baik jika mereka bermain dalam satu pasukan.

"Ia soalan yang sukar. Pasti menarik jika kami berdua berada dalam satu pasukan," kata Ronaldo kepada France Football. "Saya fikir pemain-pemain yang hebat perlu bermain bersama.

"Jadi jika kami berada di dalam satu pasukan, saya fikir saya mungkin memenanginya lebih banyak daripadanya, namun dia tidak begitu jauh.

"Semua orang tahu Messi adalah pemain yang hebat. Dia memenangi lima Ballons d'Or."

Kapten Portugal, Ronaldo 31 mengumpul secara keseluruhan 745 mata, lebih 400 mata berbanding Messi, 29 pada undian tahun ini yang diperoleh daripada panel wartawan di seluruh dunia.

Selepas memenangi gelaran individu, fokus Ronaldo ketika ini kembali terarah untuk membantu Real dalam kempen Piala Dunia Kelab di Jepun.

Ronaldo percaya kejayaan berstatus benua itu mampu menjadi permulaan buat Real meraih musim yang lebih gemilang.

"Objektif saya adalah untuk memenangi Piala Dunia Kelab, trofi yang penting," kata Ronaldo. "Selepas itu, memenangi La Liga. Ia adalah gelaran yang Real mahu menang.

"Dan jika berpeluang, Liga Juara-Juara sekali lagi dan Piala Raja Sepanyol. Saya sentiasa mahu menang segala-galanya. - Agensi

30 dibaca
Berita Harian X