Rabu, 14 Disember 2016 | 11:24am

Mourinho sedia lepas 'beban' Man United


Memphis Depay (kiri) dan Morgan Schneiderlin menjadi pemain buangan sejak Mourinho mengambil alih tugas pengurus di Old Trafford. - Foto http://thefootballaddict.com/

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho berkata, dia bersedia untuk mendengar segala tawaran untuk pemain yang tidak gembira seperti Memphis Depay dan Morgan Schneiderlin apabila pintu perpindahan pemain dibuka, bulan depan.

Pemain sayap Belanda, Depay dan pemain tengah Perancis, Schneiderlin yang kedua-duanya ditandatangani oleh Louis van Gaal pada 2015 menjadi pemain 'buangan' sejak Mourinho mengambil alih tugas pengurus di Old Trafford.

Mourinho berkata, dia tidak akan menghalang jika pemain berkenaan meminta untuk dilepaskan.

"Saya sentiasa bersedia untuk mendengar sebarang tawaran terhadap mana-mana pemain. Selain itu, saya juga sedia mendengar permintaan daripada pemain itu sendiri.

"Jadi, mana-mana pemain yang mengetuk pintu... tidak gembira dan mahu berpindah, jika ada tawaran yang bagus, saya tidak akan menghalang pemain untuk meninggalkan pasukan.

"Apabila Juan Mata meninggalkan Chelsea untuk beraksi bersama Manchester United (Januari 2014), saya tiada sebarang masalah. Saya sentiasa terbuka," kata Mourinho.

Schneiderlin yang dibawa masuk daripada Southampton dengan yuran perpindahan dilaporkan bernilai 25 juta (RM140.2 juta) masih belum dapat memulakan aksi dalam saingan liga musim ini.

Pemain berusia 27 tahun itu beraksi selama 86 minit dalam saingan domestik - 73 minit daripadanya adalah ketika menentang kelab divisyen tiga, Northampton Town dalam saingan Piala Liga.

Depay pula yang dibeli dengan harga 25 juta pound (RM140.2 juta) daripada PSV Eindhoven hanya berpeluang beraksi selama 134 minit dalam semua kejohanan dengan sekali berada dalam kesebelasan utama ketika menentang Northampton.

Everton yang terdesak bagi mencari pengganti kepada Yannick Bolasie yang terpaksa berehat panjang dan menyatakan minat bagi mendapatkan khidmat Depay selain turut berminat dengan Schneiderlin.

"Apa yang saya boleh katakan, saya gembira dengan skuad yang saya miliki. Saya mahu skuad ini menjadi skuad saya sehingga hujung musim ini. Saya tidak akan katakan kepada mana-mana pemain 'Kamu perlu meninggalkan pasukan kerana saya tidak mahu khidmat kamu'.," katanya. - AFP

13 dibaca
Berita Harian X