Rabu, 14 Disember 2016 | 10:58am

12 mangsa bot hilang selamat tiba

KOTA KINABALU: Seramai 12 mangsa yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mengalami kerosakan di perairan Pulau Mantani, Kota Belud, Ahad lalu, tiba di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini, malam tadi.

Semua mangsa termasuk sembilan pemancing terbabit tiba di pangkalan berkenaan kira-kira jam 8 malam dengan disambut Ketua Staf Markas Wilayah Laut 2 TLDM, Kapten Shariman Mahmud serta keluarga masing-masing.

Pengarah Maritim Wilayah APMM Wilayah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, berkata bot dinaiki mangsa ditemui kapal KD Paus milik TLDM yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 10 pagi semalam.

"Bot dinaiki mangsa itu ditemui kira-kira empat batu nautika timur laut dari lokasi terakhir dilaporkan hilang iaitu di kawasan 21 batu nautika barat dari Pulau Mantanani.

"Ketika ditemui, tiga kru kapal dan sembilan pemancing terbabit selamat namun agak keletihan selepas tersadai di tengah lautan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Zubil berkata, selepas ditemui, bot pancing terbabit ditunda KD Paus dengan diiringi Kapal Maritim (KM) Memmon ke Pangkalan TLDM, di sini.

"Bot terbabit terpaksa ditunda dengan kelajuan lima knot sejauh kira-kira 50 batu nautika ke jeti Pangkalan TLDM berikutan kerosakan dialami," katanya.

Difahamkan, bot dinaiki mangsa bertolak Sabtu lalu dari jeti pancing Kota Kinabalu ke Pulau Mantanani di Kota Belud dan sepatutnya pulang pada jam 2 petang, Isnin lalu.

Bagaimanapun, pada jam 3.07 petang Ahad lalu, bot terbabit dilaporkan mengalami kerosakan pada kotak gear dan gagal dikesan sehingga SAR diaktifkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada Isnin sebelum ditemui pagi semalam.

Berita Harian X