Rabu, 14 Disember 2016 | 8:11am

Beckham bangga anak mula lakukan kerja amal


David Beckham bersama anak lelaki kebangaannya, Cruz. - http://www.dailymail.co.uk/

NEW YORK: Bekas ketua pasukan bola sepak England, David Beckham, berkata beliau terkejut dan bangga dengan anak lelakinya yang baru berusia 11 tahun, Cruz, kerana sudah mula berjinak-jinak dengan kerja-kerja kebajikan.

Cruz dikatakan mengambil inisiatif sendiri mengumpul wang untuk tujuan kebajikan dengan melancarkan sebuah lagu Krismas.

Beliau dikatakan mengikut jejak langkah muzik ibunya, pereka fesyen dan bekas anggota kumpulan Spice Girl, Victoria, dengan melancarkan sebuah single berjudul "If Everyday Was Christmas" minggu lalu.

Semua hasil jualan single berkenaan akan disalurkan kepada badan amal kanak-kanak British, Make Some Noise.

"Dia mendengar kata ayah dan ibunya dan mengakui betapa pentingnya untuk membantu orang lain," kata David Beckham, yang juga duta Tabung Kanak-kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), di New York, Isnin lalu pada majlis sambutan ulang tahun ke-70 badan amal itu.

"Saya agak kagum kerana dia baru berumur 11 tahun dan untuk menyedari betapa pentingnya untuk berbakti pada usia itu adalah sesuatu yang istimewa."

Hadir sama pada acara sambutan UNICEF di ibu pejabat PBB, termasuk pelakon Jackie Chan, Orlando Bloom dan Priyanka Chopra. - Agensi

Berita Harian X