Rabu, 14 Disember 2016 | 6:41am
KERATAN akhbar BH.

Institusi beraja pelindung, penyatu rakyat


SULTAN Kelantan Sultan Muhammad V berkenan melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-244 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15 di Istana Negara hari ini.Mesyuarat Khas itu dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (duduk dua dari kiri). - Foto BERNAMA

Tanggal 13 Disember 2016, adalah tarikh yang memahat detik bersejarah untuk rakyat Malaysia apabila Sultan Kelantan, Sultan Muhamad V, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra, mengambil alih giliran bersemayam di atas takhta Istana Negara sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15, iaitu giliran kedua bagi Sultan Kelantan.

Institusi beraja secara keseluruhannya adalah satu penerusan pensejarahan Tanah Melayu atau warisan yang sudah lama wujud sebelum kedatangan penjajah Barat. Bagi menyelamat keadaan pemencilan taat setia rakyat kepada Raja-Raja akibat dasar pecah dan perintah oleh penjajah dan tumpuan kesetiaan rakyat yang hanya dicurahkan kepada Raja atau Sultan setiap negeri, maka institusi Yang di-Pertuan Agong, iaitu permuafakatan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, dicipta.

Ini mengambil kira syor Suruhanjaya Reid bagi melahirkan satu kepentingan bersama dengan memberi tumpuan ketaatsetiaan berpusat dan menerima Raja-Raja Melayu sebagai objek penyatupadu melalui institusi Yang di-Pertuan Agong. Terhasil konsep Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, dengan itu bermakna satu takhta baharu diwujudkan, iaitu tempat bersemayamnya Yang di-Pertuan Agong.

Jawatan ini mempunyai dua unsur penting iaitu diwarisi dan dilantik. Jawatan Sultan di setiap negeri diwarisi secara turun temurun, manakala jawatan Yang di-Pertuan Agong adalah jawatan dipilih secara bergilir-gilir setiap lima tahun dalam kalangan sembilan Raja-Raja Melayu.

Dari kaca mata demokrasi, proses pemilihan dan juga pelantikan sedemikian boleh dianggap amalan demokratik melalui satu proses pengundian terhad dalam kalangan sembilan Raja-Raja Melayu, yang dikendalikan Institusi Majlis Raja-Raja. Pemilihan ini boleh dipanggil sebagai 'Pilihan Raya Diraja' dan satu-satunya di Malaysia. Sistem giliran dan pengundian ini tidak ada di negara lain yang mengamalkan sistem monarki.

Simbolik perpaduan

Justeru, institusi ini dianggap sebagai 'unik dan asli'. Sesuai dengan komposisi penduduk yang kepelbagaian dari segi etnik, kebudayaan, agama serta geografi, Perlembagaan Persekutuan mencipta Yang di-Pertuan Agong sebagai 'simbol perpaduan' dalam kalangan rakyat negara ini tanpa mengira sempadan bangsa, keturunan atau asal usul, mahupun dari daerah atau wilayah mana.

Dalam konteks ini, cuma Raja-Raja Melayu yang memilih ketua utama negara, manakala rakyat jelata pula yang memilih ketua kerajaan, kedua-duanya melalui proses pengundian secara demokratik. Dalam banyak keadaan, Yang di-Pertuan Agong menjalankan pemerintahan negara mengikut nasihat Kabinet atau Perdana Menteri (Fasal 40), kecuali beberapa perkara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan sebagai kuasa budi bicara.

Di samping itu juga, baginda menjalankan kuasa mengikut fungsi seiring fungsi simbolik Yang di-Pertuan Agong, seperti bertindak sebagai Ketua Angkatan Tentera (Fasal 41), Penyimpan Mohor Besar Persekutuan (Fasal 36), memanggil mesyuarat Dewan Rakyat (Fasal 55), ucapan di Parlimen (Fasal 60), perkenan rang undang-undang (Fasal 66), dan menerima menghadap duta asing dan mentauliah duta ke luar negara.

Kita dapati unsur tradisi 'feudal' masih wujud, tetapi melalui proses pemurnian untuk disesuaikan dengan masa dan perkembangan semasa, apabila Tanah Melayu meninggalkan monarki mutlak dan mula menerima pakai sistem Raja Berperlembagaan.

Kedudukan Raja bertukar menjadi pelindung simbolik sejajar perkara yang dikanunkan dalam Perlembagaan. Dengan itu, apa sahaja urusan pentadbiran Kerajaan Persekutuan dijalankan atas nama dan titah Yang di-Pertuan Agong. Semangat ini diterjemahkan melalui cetakan di atas sampul surat jabatan kerajaan yang tertera rangkai kata 'Urusan Seri Paduka Baginda'.

Perlembagaan Persekutuan menyediakan suatu tempat khusus dan istimewa kepada Yang di-Pertuan Agong adalah komponen utama Parlimen Malaysia (Badan Perundangan) atau entiti legislatif, terdiri daripada tiga komponen iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Yang di-Pertuan Agong adalah komponen utama membentuk Parlimen.

Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen bermesyuarat atau bersidang. Pemilihan Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 14 Oktober lalu melalui Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke 243 (Khas). Selaras dengan jaminan di bawah Perlembagaan Persekutuan, Institusi Yang di-Pertuan Agong juga diterapkan dalam segenap aspek budaya dan perlambangan negara.

Dalam senario Malaysia sebagai sebuah negara yang secara relatifnya muda, baik dalam konteks demokrasi mahupun kewujudan Perlembagaan, Institusi Raja-Raja adalah penawar mujarab dan penyejuk yang mententeramkan. Tidak kira apa yang berlaku di arena politik, hakikatnya rakyat masih mempunyai satu-satunya institusi beraja yang boleh dimanfaatkan sebagai benteng pelindung terakhir.

Bebas politik

Takhta melewati pergolakan politik, malah bebas daripada unsur politik. Kekuatan ciri-ciri ini sebenarnya memberikan keperibadian yang khusus kepada sesebuah negara, yang membezakan satu negara dengan yang lain.

Rakyat Malaysia secara keseluruhannya menaruh penuh harapan dan kepercayaan jitu, bahawa Sultan Muhamad V yang digelar pemerintah yang soleh dengan ketokohan dan keperibadian yang terbukti merendah diri, serta sering terbabit kerja sosial dan kegiatan keagamaan.

Baginda juga kerap mengetepikan protokol serta tanpa menghitung kedudukan dan darjat, mampu membawa Malaysia ke era yang lebih cemerlang dan gemilang. Mengambil kira Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang membangun serta kepelbagaian dalam banyak aspek, tambahan pula dalam mengharungi era dunia tanpa sempadan dengan tiupan angin kebebasan bersuara yang semakin terbuka dalam pengamalan demokrasi, Malaysia tetap boleh berbangga.

Kita semua dapat bernaung di bawah payung Seri Paduka dan terus mendepani cabaran ke arah membentuk identiti Malaysia dan seterusnya menuju ke arah Wawasan 2020 serta Transformasi Nasional 2050 atau TN50.

Daulat Tuanku!

Penulis adalah bekas Pengarah Kastam, kini Pesuruhjaya Sumpah Malaysia

366 dibaca
Berita Harian X